Rahsia 2.2 ini ialah satu rahsia dalam rahsia. Hmmm… seronok pula dengar bunyinya. Apakah yang saya maksudkan dengan rahsia dalam rahsia?

Keyakinan diriBegini. Semasa kita berlatih untuk memupuk semangat dan keyakinan diri, kita akan mula-mula sekali hadapi banyak kegagalan. Kita akan hadapi pelbagai rintangan yang boleh menjatuhkan semangat dan keyakinan diri kita. Contohnya, dalam usaha menjadi seorang trainer atau ‘public speaker’, kita dicemuh, dikutuk atau disindir kerana kurangnya kemahiran dan kecekapan. Kita juga diberi komen yang memanaskan telinga seperti, ‘kalau bagi ucapan begini, adik saya pun lebih bagus’, ‘ cara penyampaian hancur, asyik tergagap-gagap sepanjang ceramah’ atau ‘persembahan huru-hara, macam kerja last minute’. Jangan terkejut jika kebanyakan trainer dan public speaker pernah mendapat komen-komen sebegini termasuk saya sendiri. Apa yang perlu dilakukan agar semangat dan keyakinan diri kita kekal utuh dan tidak jatuh?

Ingat teknik ini. Setiap kali selesai melakukan sesuatu, imbas kembali apa yang telah dilakukan. Tapi perlu ingat, kita mesti mengimbas perkara-perkara baik dan kenangan-kenangan manis yang berlaku terlebih dahulu. Ini kerana ada kajian mengatakan bahawa jika kita selalu kenang sesuatu, ia akan berlaku semula. Maksudnya, jika kita kenang dan imbas apa yang kita lakukan dengan baik, kita akan ulangi melakukan perkara baik itu.

Sesiapa yang tidak tahu teknik ini akan selalu mengenang apa yang mereka tidak suka terlebih dahulu. Contohnya mereka kenang kembali dan berfikir, ‘kenapa la aku tergagap-gagap tadi?’, ‘malu betul bila penonton tak gelak bila aku buat lawak tadi’ atau ‘kenapa la aku asyik lupa je apa nak cakap,’.

Bila kita imbas dan kenang perkara-perkara begini, seperti kata kajian tadi, ia pasti akan berulang. Ucapan kita yang seterusnya pasti akan dipenuhi masalah gagap, lawak tak menjadi dan lupa isi yang hendak diperkatakan.

Esok saya akan terangkan dengan lebih lanjut bagaimana cara mengenang kembali apa yang perlu dilakukan selepas selesai melakukan sesuatu. :)

p/s Rahsia dalam rahsia kerana ramai orang tahu untuk yakin perlu berlatih tetapi tidak ramai tahu cara berlatih dengan betul dan berkesan agar semangat kekal utuh dan tidak jatuh.