Tue 17 Jul 2007
7 Petua Memikat Hati Guru – petua 1
Posted by Osman Affan under Motivasi, Soft Skills
[5] Comments
Petua pertama adalah petua yang paling penting. Untuk memikat hati guru anda, anda perlu belajar dalam keadaan ‘Gelas yang kosong‘. Apakah maksud saya ini?
Belajar dalam keadaan gelas yang kosong ialah anda perlu rasa rendah diri dan buka minda anda untuk menerima apa yang diajarkan oleh guru anda. Banyak ketikanya saya lihat pelajar datang ke sekolah, kolej, universiti, seminar atau bengkel dalam keadaan gelas yang penuh. Ini bermaksud, mereka rasa mereka tahu banyak perkara berbanding kawan-kawan sebaya mereka malah mereka juga rasa mereka lebih tahu daripada guru mereka.
Apa akan jadi jika air dituangkan ke dalam gelas yang penuh? Ya….. air yang dituang itu akan tumpah. Malah, air yang ada di dalam gelas yang penuh itu juga akan turut mengalir keluar. Jika anda tidak percaya, cuba isikan air sirap kedalam sebiji gelas hingga penuh. Tuangkan air masak ke dalam gelas itu. Biarkan air yang melimpah keluar. Lama-kelamaan, anda akan lihat gelas yang berwarna merah disebabkan air sirap itu akan lama kelamaan menjadi putih.
Apa yang ingin saya katakan ialah jika anda datang ke majlis ilmu dengan perasaan anda lebih mengetahui, anda tidak akan pelajari sesuatu yang baru. Malah ilmu yang ada pada anda juga akan jadi semakin susut dan tidak bernilai. Apa kena-mengena petua ini dengan memikat hati guru?
Guru sangat mudah mengesan jika anda datang kepada mereka dengan gelas yang penuh. Orang yang datang dengan gelas yang penuh boleh dikesan melalui percakapannya, soalannya dan juga cara mereka duduk dalam sesuatu majlis ilmu itu. Apabila seorang guru dapat mengesan orang-orang begini, selalunya guru akan cuba mengalihkan perhatian kepada anak murid yang lain. Ini adalah supaya guru dapat mengekalkan semangat mereka untuk mengajar dan emosi mereka tidak terganggu dengan pelajar gelas penuh ini. (Jika anda rasa kurang yakin bahawa seorang guru boleh mengesan pelajar gelas penuh ini, cuba tanya kepada mana-mana guru atau trainer yang anda kenal.
)
Sebaliknya, jika anda datang dengan gelas yang kosong, guru akan dapat mengesan bahawa anda datang dengan niat mahu belajar. Saya sendiri, saya sangat suka melayan pelajar yang ada niat mahu belajar. Mereka ini selalunya bersedia untuk mendengar nasihat bagaimana mahu memajukan pelajaran mereka. Untuk pelajar begini, seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu.
Apa yang perlu anda lakukan sekarang? Ada beberapa perkara:
- Betulkan niat anda untuk betul-betul belajar. Anda perlu ingat, orang yang bijak adalah orang yang mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu dengan baik, bukan orang yang suka menunjukkan kepandaian mereka.
- Elakkan daripada memalukan guru anda dengan menunjukkan kepandaian anda. Contohnya, ada kalanya guru membuat kesilapan seperti membuat kiraan yang salah di depan kelas. Jika anda mahu betulkan kesalahan itu, betulkan dengan cara yang sopan agar tidak menjatuhkan air muka guru tersebut.
- Dengar nasihat dan cadangan guru anda tentang bagaimana cara untuk memajukan diri anda.
Selamat mencuba.























July 17th, 2007 at 12:41 pm
baru saya faham kenapa guru pilih kasih.tapi kenapa orang yang tak pandai cikgu tak suka nak beri tumpuan atau beri tunjuk ajar walaupun pelajar tu datang ke sekolah dalam keadaan “gelas yang kosong”?
sebabnya saya dah mengalami sendiri.Nak atau tak terpaksalah saya beri tuisyen kepada diri saya sendiri..
July 17th, 2007 at 1:06 pm
Assalamualaikum.
Firadila, ikuti petua seterusnya. Ada masanya, pelajar datang dengan gelas kosong, tetapi kelakuan mereka dan tidak tanduk mereka seperti seseorang yang tidak berminat untuk belajar.
Elakkan daripada merasa sedih atau marah dengan situasi. Ini akan memburukkan lagi keadaan. teruskan membaca dan mencuba.
July 17th, 2007 at 2:08 pm
maksud saya “memberi tuisyen kepada diri saya sendiri” bukan bermakna saya pergi ke kelas tuisyen tetapi saya terpaksa belajar sendiri.Sayalah cikgu dan sayalah muridnya.Mana-mana subjek yang saya tak paham bila bertanya pada cikgu, cikgu tak layan…bila tanya pada kawan-kawan yang pandai sedikit, kawan-kawan pun tak layan…
last sekali, saya putus asa dan tertekan…..exam dah dekat ni…
sekian luahan saya…senyum selalu..
July 17th, 2007 at 2:22 pm
kesian saya dengar cerita dila…sy dulu pun mcm tu…dtg dengan gelas kosong…tapi kerana cikgu tu pilih kasih hanya pelajar cina shja dia jwb..bila pelajar melayu bertanya dia akan kata bodoh…itu pun awak tak tahu…tanpa beri jawapan pada pertanyaan itu.Sy belajar dgn beri tuisyen pada diri sendiri. tak pernah lulus fizik sejak dr ting 4dan5. tapi SPM saya dapat 7.oklah dengan tuisyen sendiri. tapi masih perlu cara belajar yg betul.Merujuk kpd subjek tertentu samada perlu faham konsep atau buat latihan tubi. fizik..kimia..bio perlu faham konsep..blh belajar sendiri. cara belajar tentu berbeza dengan cara diajar oleh guru…Nasihat sy perlu banyak baca buku bagaimana utk memahami dgn cepat melalui membuat nota-nota berkesan dan mudah….bila ada teknik pasti semuanya lebih mudah….insyaallah
July 17th, 2007 at 2:52 pm
Firadila….
Hmmm…. ada banyak ketikanya, dunia ni macam tak adil kan…? Dah macam-macam cuba dengan cara yang betul, tapi hasil masih belum memuaskan. Saya cuma harap firadila jangan berhenti mencuba. Satu hari nanti, buktikan kejayaan adalah milik sesiapa yang berusaha, bukan sesiapa yang mengalah dan berputus-asa….
Ida,
Terima kasih atas sumbangan pendapat yang diberi. Kalau semua pelajar ada sifat mahu terus berusaha meskipun keadaan seperti tidak membantu, insyaallah semakin besarlah kadar kejayaan yang akan kita lihat dikalangan para pelajar kita.
Pesan saya kepada semua, walau apa pun cara guru melayan kita sekarang, jangan letakkan pandangan negatif kepada mereka. Mereka tetap guru kita dan kita masih mengharapkan mereka untuk mencurahkan ilmu kepada kita.