Wed 25 Jul 2007
7 Petua Memikat Hati Guru – petua 7
Posted by Osman Affan under Motivasi, Soft Skills
No Comments
Petua yang terakhir ini mungkin berbunyi agak pelik sedikit. Jika petua kedua menyatakan bahawa anda perlu tawarkan bantuan kepada guru anda untuk memikat hati mereka, petua ke tujuh ini mengatakan bahawa anda perlu ‘minta bantuan’ daripada guru anda untuk memikat hati mereka.
Adakah anda boleh lihat mengapa perlu minta bantuan untuk memikat hati guru? Begini, secara umumnya guru datang ke sekolah dengan niat untuk membantu anak-anak muridnya mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kejayaan dalam hidup. Bagi saya tidak ada guru yang mahu anak muridnya gagal. (Kalau ada, saya tidak panggil orang itu dengan nama guru). Jadi, apabila anda minta bantuan mereka, mereka akan sedia membantu. Dan apabila mereka membantu anda, hubungan anda dengan guru tersebut akan jadi semakin rapat.
Bantuan tidak semestinya dalam bidang akademik. Jika anda ada masalah peribadi dan perlukan nasihat guru anda, saya percaya guru anda pasti bersedia untuk memberi nasihat.
Namun anda perlu ingat, minta bantuan hanya untuk memajukan diri anda dan tidak terlalu menyusahkan guru anda. Bila saya kata minta bantuan guru anda, jangan pula anda bersiap sedia untuk meminta duit pula daripada guru anda.
Ada permintaan pelajar yang bersifat terlalu peribadi dan menyusahkan guru mereka. Ada yang minta guru mereka menghantar mereka ke sana ke mari dengan kereta guru tersebut.
Ada pelajar yang meminta guru membelikan mereka sesuatu sedangkan mereka tahu tempat tinggal guru itu jauh daripada tempat barang tersebut. Ringkasnya, jangan jadikan petua in sebagai alasan untuk mengambil kesempatan ke atas guru anda. Jika anda lakukan ini, bukan sahaja anda akan gagal memikat hati guru anda, malah anda akan semakin dijauhi.
Mulai hari ini, jangan merasa segan untuk meminta bantuan daripada guru anda berkenaan pelajaran atau nasihat untuk masa depan anda. hargai segala pertolongan yang guru anda berikan. Jangan mengeluh atau memandang rendah kepada apa sahaja pertolongan yang mereka berikan walaupun kecil.
Selamat mencuba.






















