Fri 7 Dec 2007
7 Petua Skor A 2008 – Petua 3
Posted by Osman Affan under Motivasi, Petua, Teknik Belajar
[2] Comments
Setelah kita tulis matlamat gred yang kita hendak capai dan setelah kita kaji kekuatan dan kelemahan kita, sekarang tiba masanya kita mulakan langkah kecemerlangan dengan mempelajari petua yang ketiga. Petua ketiga ini berbunyi, uruskan masa berpandukan matlamat.
Petua ketiga ini sangat berkesan untuk mengatasi satu masalah yang saya namakan ‘gejala azam tahun baru’. Maksudnya, pada awal tahun, pelajar (atau orang dewasa) akan menanam azam yang hebat untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Namun, azam itu akan pudar dalam masa hanya beberapa minggu atau beberapa bulan pertama sahaja. Sebab utamanya ialah azam itu tidak disertakan dengan rancangan tindakan. Apa yang perlu kita lakukan untuk tidak terjebak dengan gejala azam baru ini?
Begini.
Perkara paling penting dilakukan selepas kita ada matlamat ialah merancang tindakan. Maksudnya, untuk mendapat gred A dalam subjek Matematik, kita perlu tentukan apakah aktiviti yang perlu kita lakukan. Contohnya, untuk dapat gred A, kita rasa kita perlu buat 20 latihan matematik setiap hari (tidak termasuk kerja sekolah). Jadi, setiap hari fokus utama kita ialah menyiapkan 20 latihan tersebut tidak kira berapa sibuk dan penat sekalipun.
Kalau boleh, tindakan itu mesti boleh dilakukan dalam masa 48 jam selepas kita menulis matlamat. Mengapa? Jika ia mengambil masa terlalu lama untuk dilaksanakan, kita kan mula hilang semangat. Jika ia dilaksanakan serta-merta, semangat yang masih membara itu akan membantu menolak kita ke hadapan dan melakukan semua perkara yang patut dilakukan.
Saya lihat teknik ini digunakan oleh beberapa sahabat baik saya yang cemerlang dalam subjek Matematik ketika di sekolah menengah berasrama penuh dulu. Mereka sudah tetapkan berapa soalan mereka perlu buat dalam sehari. Jika mereka rasa hari mereka akan sibuk dengan aktiviti sukan atau kelab, mereka akan curi mana-mana masa yang terluang untuk menyiapkan latihan tersebut. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu guru masuk ke kelas. Kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu giliran ke bilik air (kerana bilik air penuh) dan kadang-kadang mereka buat latihan semasa menunggu masuk waktu sembahyang di surau.
Ini menunjukkan bahawa jika kita ingin berjaya, jangan hanya fikirkan tentang hendak mendapat gred A tetapi fikirkan juga apa yang perlu dilakukan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Tindakan ini semua lebih mudah kita kawal dan ia boleh menjadi kayu pengukur sama ada kita sedang bergerak menuju matlamat kita atau tidak.
Jadi, tugas kita hari ini, senaraikan aktiviti atau tindakan yang perlu kita ambil untuk memastikan kita dapat apa yang kita inginkan. Minggu depan saya akan terangkan lebih lanjut mengenai petua ketiga ini terutamanya bagaimana menguruskan masa untuk subjek yang kita lemah.























December 7th, 2007 at 5:21 pm
Salam…emm betul tu, saya rasa point “mencuri masa” tu sangat berkesan…Kita akan lebih fokus kerana kita sedar masa yang kita ada adalah terhad kerana sibuk dan perlu membuat tugas lain.Bagi saya masa sekolah dulu cara mencuri masa adalah lebih baik kerana saya tidak mengambil masa yang lama untuk membuat kerja sekolah kerana saya sedar saya tidak banyak masa untuk menyiapkannya.
Emm,saya tunggu petua seterusnya…
December 7th, 2007 at 7:24 pm
Hanny,
tidak semua pelajar tahu teknik ni kan? Saya sendiri dulu pun leka dan berseronok je bila cikgu tak masuk kelas. Bila tengok kawan-kawan guna teknik ni, baru cuba ikut sikit-sikit. Kesannya memang sangat bagus.