Kita masih lagi dalam petua keempat iaitu gandakan latih tubi. Hari ini saya akan terangkan tentang konsep latih sampai dapat. :)

Dalam program-program SmartStudy yang biasa saya jalankan, ramai pelajar bertanya tentang masalah di mana mereka sukar hendak memahami sesuatu. Bila saya tanya mereka berapa kali mereka cuba untuk baca sesuatu atau belajar sesuatu, mereka kata hanya 1 atau 2 kali sahaja!

Skor A 2008Hmmm…. apabila kita belajar sesuatu, adalah normal jika kita sukar memahaminya terutamanya apabila kita belajar sesuatu yang kita tidak biasa gunakan. Contohnya, jika selama ini kita tidak pernah memancing, tentu sukar dan janggal apabila kita mahu belajar mengikat mata kail dan memasang umpan. Bagaimana akhirnya kita pandai memancing? Dengan melakukan aktiviti memancing berulang-ulang kali bukan?

Sama seperti belajar. Jika kita rasa subjek Matematik, Sejarah, Sains, Geografi atau apa subjek susah, itu adalah kerana kita belum cuba membuat latihan yang mencukupi. Jadi mulai hari ini, untuk skor A tahun 2008, ada 3 perkara yang perlu kita lakukan.

  • Pertama, lebihkan membuat latihan daripada membaca. Apabila kita membuat latihan, secara automatik kita juga perlu membaca. Namun apa yang lebih hebat, semasa kita membuat latihan, kita akan membaca dan berfikir. Aktiviti berfikir ini mungkin memeningkan pada mulanya tetapi lama-kelamaan kita akan rasa cergas dan cerdas. Kita juga akan lebih ingat apa yang telah kita pelajari.
  • Kedua, dapatkan soalan-soalan lepas. Tidak kira kita berada di sekolah rendah atau menengah, kolej atau universiti, soalan-soalan lepas adalah gambaran tentang apa yang perlu kita tahu dalam setiap subjek. Contohnya, apabila kita banyak membuat latihan soalan lepas subjek Sejarah, kita akan tahu maklumat mana yang penting dalam setiap topik. Jadi, kita tidak perlu terlalu membuang masa belajar topik kurang penting dan maklumat yang jarang ditanya dalam peperiksaan.
  • Ketiga, buat latih tubi ini secara berterusan. Semakin banyak latihan yang kita lakukan, kita akan nampak soalan bagaimana yang bakal keluar nanti. Saya pernah lihat seorang kawan yang begitu handal meneka apakah soalan yang bakal keluar semasa belajar di peringkat A-Level dulu. Rupa-rupanya dia banyak membuat latihan soalan lepas dan dia sudah nampak dengan jelas bentuk-bentuk soalan yang akan ditanya. Apabila ini berlaku, proses pembelajaran jadi ljauh lebih mudah.

Selamat membuat latih tubi. :)