Mon 31 Dec 2007
7 Petua Skor A 2008 – Petua 5
Posted by Osman Affan under Motivasi, Petua, Teknik Belajar
No Comments
Cara kedua untuk meningkatkan ketepatan ialah dengan menguasai kemahiran menghafal atau teknik memori. Teknik memori ialah teknik yang boleh membuat kita lebih mudah ingat apa yang sedang dan telah kita pelajari. Teknik ini bukanlah seperti satu ubat yang boleh dimakan agar semua masalah ‘LUPA‘ hilang. Teknik ini memerlukan latihan dan kesungguhan. Namun apa yang bagusnya, setelah kita memahami dan menguasai teknik ini, mengingati sesuatu akan jadi lebih mudah.
Apa kaitan teknik memori dengan ketepatan? Apabila kita menjawab soalan peperiksaan, kita perlu mengetahui jawapannya dengan tepat untuk memperolehi markah yang baik. Jawapan yang tepat selalu perlu diingat dengan betul. Contohnya, berapakah suhu takat didih air? Kalau kita tidak ingat, mungkin kita boleh jawab lebih kurang 90 hingga 110 darjah celsius. Tetapi, itu tidak tepat. Kita perlu ingat dengan tepat bahawa takat didih air ialah 100 darjah celsius.
Bagaimana caranya agar kita boleh kuasai teknik memori atau kemahiran menghafal ini?
- Pertama, ikuti kursus, seminar atau bengkel kemahiran belajar yang dianjurkan di tempat kita belajar atau mana-mana tempat yang kita boleh hadiri. Selalunya sekolah atau mana-mana pusat pengajian ada menganjurkan program begini untuk pelajar. Saya juga kadangkala agak sibuk memenuhi undangan menjalankan program berbentuk kemahiran belajar dan teknik menghafal ini di sekolah-sekolah, kolej dan juga universiti. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti program sebegini.
- Kuasai teknik ini melalui pembacaan. Kini terdapat banyak buku yang mengajar teknik-teknik memori dan kemahiran menghafal. Ada yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan ada yang ditulis dalam Bahasa Melayu (contohnya buku menjadi remaja SmartStudy – Kemahiran Belajar). Saya lihat kebanyakan pelajar cemerlang pasti ada melaburkan wang mereka membeli buku-buku berfaedah begini berbanding pelajar lain yang lebih suka membeli komik, majalah hiburan dan bahan bacaan yang tidak menyumbang ke arah pembangunan diri.
- Latih teknik ini setiap hari hingga kita rasa selesa menggunakannya. Salah satu tanda rasa selesa ialah kita tidak perlu berfikir lagi untuk melakukannya. Contohnya, apabila kita membaca buku, dengan secara automatik kita akan praktikkan teknik memori hingga kita tidak sedar rupa-rupanya banyak maklumat yang kita telah ingat melalui pembacaan itu.
Mulakan usaha kita untuk menguasai teknik memori ini sekarang!






















