Wed 10 Dec 2008
7 tanda Halangan Minda menyekat bakat terpendam – Tanda 1.
Posted by Osman Affan under Fikir, Motivasi, Persediaan Minda
[6] Comments
Mari kita mulakan dengan tanda yang pertama. Tanda yang pertama berbunyi, selalu dan suka sebut perkataan-perkataan seperti ‘susah’, ‘tak boleh’, ‘mustahil’, ‘tak masuk akal’, ‘mana mungkin’ dan sebagainya. Semua perkataan atau ayat ini menunjukkan bahawa anda tidak boleh lakukan sesuatu. Ini semua adalah perkataan atau ayat yang selalu timbul apabila halangan minda menguasai cara anda berfikir.
Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa perkataan itu semua tidak boleh disebut. Orang berjaya juga ada menyebut perkataan tersebut. Namun satu perkara yang berbeza antara orang yang berjaya dan tidak berjaya, orang berjaya sebut susah tetapi dalam hati mereka bertekad untuk mengatasi apa juga kesusahan yang sedang mereka alami itu. Orang kurang berjaya pula apabila menyebut susah, mereka lemah semangat dan mula menutup minda mereka untuk menerima apa-apa cadangan.
Saya selalu lihat pelajar yang kurang berjaya dan kurang bermotivasi menyebut perkataan-perkataan ini. Apabila diberi suatu yang baru untuk dipelajari, cepat benar mulut mereka melatah dengan perkataan-perkataan tadi. Akibatnya, mereka benar-benar sukar mahu menguasai sesuatu topik baru.
Untuk orang dewasa pula, setiap kali mereka sebut perkataan-perkataan ‘susah’ atau ‘mana mungkin’ tadi, mereka percaya sepenuh hati. Malah, kepercayaan mereka ditambah lagi dengan pengalaman buruk mereka di masa lepas. Sebagai contoh, jika mereka ditanya bolehkah mereka berucap di hadapan khalayak ramai selama 2 jam, mereka akan kata, “huh, gila ke apa?” atau “aduh…tak masuk akal”. Banyak lagi versi apa yang mereka mungkin katakan. Kata-kata ini pula disokong oleh pengalaman kegagalan mereka di masa lepas. Mungkin mereka pernah diketawakan. Mungkin mereka pernah bercakap dan tidak ada seorang pun yang memberi perhatian. Mungkin juga mereka pernah begitu berdebar hingga pitam, lupa apa hendak dikatakan atau melakukan sesuatu yang memalukan di khalayak ramai. Mereka begitu percaya bahawa pengalaman kegagalan mereka itu merupakan petunjuk kepada kebolehan diri.
Bagaimana dengan anda? Sekarang, apa kata anda fikirkan untuk lakukan sesuatu (sudah tentu yang baik) yang selama ini anda tidak pernah berani untuk lakukan. Mungkin anda fikir untuk menulis buku, memberi tazkirah di surau, azan di surau, berniaga, cari kerja baru, sambung belajar, bertegur sapa dengan seseorang yang anda sudah lama menaruh hati atau apa sahaja. Mungkin juga anda adalah seorang yang takut pada kegelapan dan anda terfikir untuk cabar diri anda pergi ke tempat yang sunyi dan gelap tanpa berteman seperti ke kawasan perkuburan
Apabila anda fikirkan untuk melakukan perkara tersebut, apakah perkataan-perkataan yang bermain di fikiran anda? Ia tidak semestinya sama dengan apa yang saya tuliskan tetapi adakah maksudnya sama? Jika ada perkataan-perkataan seperti yang saya gambarkan tadi timbul, ada kemungkinan minda anda sedang dibelenggu oleh halangan minda.
Bayangkan perubahan yang akan berlaku kepada diri anda jika semua perkataan dan ayat ini anda ubah kepada perkara sebaliknya. Sebagai contoh, “Mat, Kasim cuti sakit hari ni, awak ganti dia bagi ucapan pembukaan majlis perpisahan nanti boleh?”
Jika selalu anda jawab tidak boleh atau sibuk cari alasan, apa kata anda tukar kepada ‘Boleh, tak ada masalah. Berapa lama nak kena berucap? Sejam? Dua jam? Apa agaknya perubahan yang bakal berlaku?
Mulai hari ini juga, apa kata anda perhatikan dan dengar dengan teliti setiap perkataan dan ayat yang keluar daripada mulut anda. Setiap kali anda kata susah, cuba bayangkan yang ada seketul batu yang besar sedang menghalang cara anda berfikir. Bayangkan juga selagi batu itu ada di situ, apa-apa pencapaian anda sekarang akan kekal begitu sehingga ke akhir hayat anda, tidak ada peningkatan.























December 10th, 2008 at 8:02 am
Tersedar
December 10th, 2008 at 10:42 am
En Osman,
Saya dah lama mendengar dan menyedari akan perkataan negatif tersebut yg menjadi halangan minda, namun selagi kita berada didalam suasana yg berfikiran seperti yg tersebut, sukar nak mengubah diri kita. Saya mengakui akan kelemahan diri utk mengubah diri apatah lagi kawan-kawan disekeliling. Namun saya akan terus cuba untuk mengubah diri dan keluarga agar penyakit tersebut tidak menjadi barah yg akan memusnahkan diri dan keluarga.
December 10th, 2008 at 11:19 am
Salam Aidiladha En Osman,
wah topik menarik nih…
sesuai benar dengan situasi saya sekarang..
saya pun tak sangka…
dihujung tahun sebegini, saya mula menggunakan potensi diri dalam bidang yang saya minati..
halangan dan cabaran tetap ada, tapi disebabkan “the true end result” yg menarik…
semua halangan nampak kecil sahaja
December 10th, 2008 at 1:43 pm
mumtazah…..
Remy,benar, perubahan bermula daripada dalam diri sendiri dulu.
Fida, salam aidiladha. Menarik je bunyinya potensi tu. Kalau berkesempatan nanti kongsi-kongsikanlah.
December 10th, 2008 at 3:33 pm
nampaknye tanda 1 mmg ade dlm diri,dan akan cube berubah!insya Allah..
x sabar nk tunggu tanda2 yg seterosnye agar dpt berusaha memperbaiki diri=)
April 25th, 2009 at 12:14 am
saya ada masalah untuk menjadi seorang yang berkeyakinan…banyak perkara saya fikir dan saya rasa saya seorang yang berfikiran negatif, low self confidence….saya mudah patah semangat..camne nk menjadi seorang yang lebih berani dan boleh menghadapi kegagalan itu sebagai satu cabaran???