Thu 15 Jan 2009
7 tanda Halangan Minda menyekat bakat terpendam - Tanda 4
Posted by Osman Affan under Fikir, Motivasi, Persediaan Minda
Tanda keempat yang perlu kita bincangkan ialah ‘terlalu sayangkan bantal busuk’. Saya percaya anda faham denganĀ maksud bantal busuk. Kita biasa lihat kanak-kanak kecil yang tidur dengan satu bantal kegemarannya. Bantal itu mungkin sudah lusuh, buruk dan berbau kerana sudah terlalu lama digunakan tetapi kanak-kanak ini masih perlukannya untuk tidur. Malah, bantal ini perlu dibawa oleh ibu bapa ke mana-mana sahaja supaya tidak timbul masalah semasa kanak-kanak ini mahu tidur nanti.
Dalam situasi orang dewasa, kita juga ada bantal busuk kita yang tersendiri. Bantal busuk yang dimaksudkan ialah cara pemikiran dan cara kita melakukan sesuatu. Cara pemikiran dan melakukan sesuatu ini pula ialah cara yang LAMA. Tentu anda pernah lihat seseorang yang langsung tidak mahu berubah. Jika pelajar, mereka masih tidak mahu ubah cara mereka membuat nota. Jadi mereka asyik menggunakan cara menulis nota semasa berada di sekolah rendah atau menengah. Kalau cara itu berkesan tidak mengapa, tetapi jika tidak, mereka masih terlalu sayang untuk meninggalkannya. Jika ini berkesan, pelajar ini tidak akan dapat mencari bakat sebenarnya dalam belajar dan mungkin hadapi kesukaran untuk menjadi pelajar cemerlang.
Untuk orang dewasa pula, ramai yang terlalu sayangkan cara lama melakukan sesuatu. Sebagai contoh, jika mereka sudah biasa berucap dengan panjang dan dengan nada yang membosankan, mereka sayangkan cara itu dan langsung tidak mahu berubah. Mereka tidak mahu berubah walaupun dia sedar bahawa lebih separuh pendengar tidur dan tidak mempedulikan ucapannya. Jika ini berterusan, orang dewasa ini tidak akan dapat mengeluarkan bakat sebenarnya dalam menarik perhatian orang ramai untuk mendengar ucapannya.
Ada juga orang dewasa yang terlalu suka bekerja sendirian. Sebabnya selama ini dia berjaya semasa bekerja sendirian. Namun apabila dia cuba untuk berjaya dengan lebih besar lagi, masih digunakan cara lama iaitu bekerja sendirian. Dia terlalu sayangkan cara bekerja sendirian hingga dia tidak mampu melihat kelebihan jika bekerja secara berkumpulan. Akibatnya, bakat terpendamnya untuk mencapai kejayaan yang jauh lebih besar akan terus terpendam selama-lamanya.
Hari ini, apa kata kita berfikir bersama-sama sejenak. Apakah kita juga terlalu sayangkan bantal busuk kita? Apakah kita masih memeluk bantal itu sedangkan kita sedar ia tidak cantik dipandang dan tidak sedap baunya di sisi orang-orang disekeliling? Jika ada masa, apa kata kita senaraikan beberapa perkara yang kita lakukan yang masih menggunakan cara lama. Harapannya, jika kita sudah mula sedar bahawa cara lama ini adalah hanya bantal busuk kita, kita mungkin akan timbul keinginan untuk memiliki bantal yang baru, cantik dan wangi pula. Selamat memeluk bantal baru! ![]()
























January 23rd, 2009 at 11:23 pm
Assalamualaikum w.b.t….
Tuan Osman,
Saya perkenalkan diri saya sebgai Fazli…
saya menuntut di salah sebuah IPTA semenanjung dalam bidang Bacelor Ekonomi…
Untuk pengetahuan tuan, saya sekarang berada di tahun akhir pengajian…
Saya mempunyai kemuskilan tentang pencapaian saya dalam bidang akademik…
Saya merupakan pelajar aliran Sains sewaktu SPM tahun 2004 (4 kredit SHJ & Subjek Sains sekadar LULUS) dan bertukar kepada aliran Satera ketika STPM 2006… Saya sangat2 berbangga dengan diri saya (dan merupakan Kenangan paling manis) kerana sewaktu di tingkatan 6 saya mampu mencapai keputusan yang agak baik (3.85) walaupun saya tidak mempunyai asas dalam bidang ekonomi, pengajian perniagaan, geografi… Malah keputusan STPM saya jauh lebih baik daripda pelajar yang mendapat 8A1 & 9A1 (SPM 2004)(Chinese Student) tapi dari aliran sastera sewaktu SPM 2004.
Soalan saya…. Sekarang ini saya tidak lagi mampu untuk “perform” sebagaimana dahulu sewaktu saya “perform” dalam STPM… sewaktu saya mula mengenali ilmu Ekonomi, P.Perniagaan, geografi di tingkatan 6… saya merasakan itulah subjek yang paling senang yang pernah saya jumpa dalam hidup ini… kerana betapa susahnya beljar dalam aliran sains sewaktu di SPM sebelumnya…
Namun sekarang keadaan sudah berubah!!!
Saya pula kalah dengan rakan2 saya daripada Matriks yang mengambil aliran Sains dan bertukar aliran kepada Bacelor Ekonomi sewaktu membuat ijazah….
CGPA saya pada masa ini hanyalah 2.89 sahaja… Berbanding dengan rakan-rakan saya yang sebelumnya dari Matriks Sains sekitar 3.4 keatas….
Soalan saya… Mengapa situasi ini terjadi?
Kenapa pelajar dari aliran sains apbila bertukar kepada aliran sastera mereka akan lebih “perform”
saya cukup kecewa dengan diri saya…. kerana tidak mampu lagi… memberi yang terbaik sebagaimana saya berada di tingkatan 6 dahulu… mungkin itulah kenangan paling manis dalam hidup saya…
Jika diizinkan ALLAH S.W.T saya sgt kepingin untuk mengulangi zaman kegemilangan saya dahulu….