Thu 4 Dec 2008
7 tanda Halangan Minda menyekat bakat terpendam.
Posted by Osman Affan under Fikir, Motivasi, Persediaan Minda
[7] Comments
Di dalam program bersama pelajar dan orang dewasa, satu topik yang pasti saya kongsikan ialah topik halangan minda. Saya definisikan halangan minda ialah sesuatu yang menghalang potensi sebenar diri kita. Apa yang mengejutkan, halangan itu cuma wujud di dalam minda kita sahaja.
Halangan minda boleh dilihat seperti sekatan jalan raya. Apabila ada sekatan jalan raya, perjalanan lalu lintas menjadi perlahan dan tersekat-sekat. Satu perjalanan yang biasanya mengambil masa 10 minit mungkin memakan masa 1 atau 2 jam.

Jika bercakap dengan pelajar, halangan minda boleh membuat seseorang pelajar rasa tidak pandai, lembab, malas dan tidak ada potensi untuk berjaya. Untuk orang dewasa pula, halangan minda membuat mereka hilang keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru terutamanya sesuatu yang selalunya mereka tidak pernah berjaya lakukan di masa lepas.
Apa yang bahaya di sini ialah, halangan minda boleh membuat anda tidak sedar tentang bakat yang terpendam di dalam diri anda selama ini. Halangan minda membuat anda percaya bahawa apa yang boleh anda lakukan hanyalah apa-apa yang sedang anda lakukan sekarang. Jika anda biasa skor C dalam peperiksaan, anda akan rasa itulah diri anda. Jika anda biasa menggeletar di hadapan khalayak ramai, begitulah juga anda definisikan diri anda.
Sayangnya, bakat dan kebolehan yang terpendam di dalam diri anda adalah sangat hebat. Saya tidak dapat gambarkannya dengan jelas betapa hebat dan besarnya bakat semula jadi yang mungkin sedang tidur
lena di dalam diri anda. Sebagai contoh, saya kerap kali ditanya oleh peserta (dewasa) apabila saya menjalankan program Pembangunan Modal Insan, ‘macam mana En Osman boleh melompat daripada bidang perakaunan ke bidang training?” Mereka bertanya begini kerana 2 bidang ini adalah sangat berbeza kerana orang dalam bidang perakaunan dibayangkan sebagai orang yang pendiam, suka menyendiri, bekerja seorang diri dan sentiasa berada di depan komputer atau buku laporan kewangan dan di belakang tabir.
Selalunya saya jawab yang saya telah jumpa bakat saya yang selama ini hanya terpendam dan tersorok jauh dalam diri saya. Ini membuat saya terimbas kisah semasa saya di tingkatan lima. Ada seorang sahabat di kelas saya yang perlu bertukar sekolah. Jadi untuk peringatan terakhir, kami adakan sedikit majlis untuk beliau. Saya di minta memberi sedikit ucapan pembukaan. Saya hanya perlu berucap selama 2 minit. Kelas saya pula hanya ada seramai 18 orang, langsung tidak ramai.
Namun apa yang saya ingat, kaki dan tangan menggeletar dengan begitu kuat sekali. Kertas yang saya pegang bergoyang. Saya pegang meja untuk mengukuhkan cara saya berdiri namun sayangnya meja itu turut bergoyang ( selalu saya ceritakan kisah ini di dalam program saya sebagai satu jenaka walaupun ia merupakan satu pengalaman yang begitu meninggalkan kesan dalam hidup saya). Saya jadi semakin panik dan pucat. Akhirnya saya akhirkan juga ucapan itu walaupun saya tahu mesti ada kawan-kawan yang ketawakan saya.
Sejak itu saya terfikir, “aku memang tak ada bakat nak bercakap depan orang. Jangan harap la kalau nak kerja yang kena bagi ceramah ke atau kerja yang kena berdiri depan orang.”
Percaya atau tidak, itu hanyalah halangan minda. Halangan minda menyekat kebebasan kita berfikir. Halangan minda membuat kita percaya bahawa kita lahir dengan serba kekurangan terutamanya dari segi bakat dan kebolehan.
Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga dibelenggu oleh halangan minda? Adakah anda hanya berani lakukan apa yang pernah dilakukan dengan jayanya sebelum ini? Adakah anda pernah rasa kewujudan bakat-bakat lain di dalam diri yang hanya menanti masa untuk dikeluarkan?
Jangan risau. Dalam masa beberapa minggu ini, saya akan bincangkan 7 tanda jika anda sedang dibelenggu oleh halangan minda. Jika anda ada tanda-tanda ini, ia bermaksud di dalam diri masih banyak lagi potensi dan kebolehan yang sedang berdengkur. Masih banyak lagi bakat yang meronta-ronta untuk keluar. Jadi, teruskan membaca.























December 4th, 2008 at 10:59 pm
Terima Kasih kerana sudi berkongsi.
InsyaALLAH, kami sentiasa mengikutinya
Teruskan menulis.
December 5th, 2008 at 10:03 am
Salam Tuan Osman,
Terima kasih di atas penulisan tuan berkenaan halangan minda….rasa berdebar apabila memikirkan halangan minda ni…berdebar kerana memikirkan macam mana hendak bercakap di hadapan orang ramai…
December 5th, 2008 at 11:38 am
Tuan,
Pagi ini saya telah cuba memecahkan satu halangan minda saya.
Banyak lagi halangan-halangan yang tercipta atau terbina yang perlu saya pecahkan.
Berat sungguh menanggung halangan minda tersebut. Heheh.
Tuan,
Adakah sama halangan minda dengan assumption?
December 5th, 2008 at 2:46 pm
Mumtazah & Fatimah, terima kasih atas sokongan.Mumtazah, assumption juga boleh jadi satu halangan minda. Halangan minda membuat kita berpegang kepada assumption yang lama.
December 5th, 2008 at 3:17 pm
Assalammualaikum dan salam ceria en. Osman..
Topik yang begitu menarik sekali dan firadila rasa teruja pula dengan topik kali ini..
Dikotak fikiran firadila ni tidak pernah pun terfikir akan halangan minda ni sebab selama ini apa yang terfikir untuk kebaikan kita mesti mencapainya cuma keberanian sahaja yang perlu ada…berani melakukan perubahan itu kan lebih baik..:)
senyum dan ceria selalu…
firadila
p/s : Harap-harap suatu hari nanti firadila dapat menghadiri ceramah yang dikendalikan oleh en. Osman..(yang pasti ianya bukan halangan dalam fikiran)
December 6th, 2008 at 12:26 am
Waalaikumsalam.
Salam ceria Firadila.
Berani melakukan perubahan lebih baik. Cuma kebanyakan orang tidak berani lakukan perubahan disebabkan ada halangan yang terlalu besar di dalam minda mereka.
Insyaallah, boleh hadiri satu hari nanti.
December 7th, 2008 at 2:09 pm
x sabar nak tunggu post seterosnye dari cikgu osman