Apabila anda bangun pagi, semasa anda hendak gosok gigi, pernahkah anda lihat wajah anda di dalam cermin ketika itu? Sudah tentu pernah bukan? Anda suka tak lihat rupa anda begitu? Pasti ramai yang tidak suka.

Satu teknik motivasi berkenaan cara meningkatkan keyakinan diri yang pernah saya pelajari ialah, anda perlu suka diri anda sendiri sebelum orang lain suka kepada anda. Maksudnya, jika anda mahu orang lain seperti kawan-kawan anda atau guru anda sukakan anda, anda perlu terlebih dahulu sukakan diri anda.

Banyak pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pelajar lain disebabkan rasa rendah diri. Rasa rendah diri ini datang kerana anda rasa diri anda kurang berharga. Ini pula berlaku kerana anda kurang suka akan diri anda sendiri. Anda lihat wajah anda di cermin, dan anda lihat wajah yang anda tidak suka. Bila anda tidak suka diri anda sendiri, anda akan mula berkelakuan yang membuat orang lain juga menjadi tidak selesa apabila mendekati anda.

Jadi, langkah permulaan, apabila anda melihat wajah anda di cermin setiap pagi, senyum selebar-lebarnya. Bayangkan anda sedang melihat seseorang yang sangat ceria, popular dan hebat. Bayangkan yang anda sangat suka melihat wajah di dalam cermin itu. Lihat apa kesannya setelah anda lakukannya beberapa hari atau beberapa minggu.

Selamat mencuba. :)