Mon 3 Mar 2008
Bersama pelajar cemerlang Kolej Mara Kuala Nerang
Posted by Osman Affan under Cerita, Motivasi, Program Motivasi, Soft Skills
Khamis minggu lalu saya berada di Kuala Nerang Kedah bersama lebih kurang 120 pelajar cemerlang daripada Kolej Mara Kuala Nerang. Program sehari ini bertajuk ‘Menjana Keunggulan Diri’.
Program ini bermula dengan perjalanan saya daripada Kuala Lumpur ke Kuala Nerang.
Saya ditemani sahabat saya En Ihsan (www.simplytranslate.net) menaiki bas dari
Puduraya jam 11 malam. Asalnya saya hendak memandu ke sana tapi memandangkan saya perlu ke Johor pula pada hari Jumaat, tak larat pula rasanya. Lebih baik dapat berehat sepanjang malam di dalam bas walaupun sakit-sakit badan sikit kerana tidur secara duduk.
Kami tiba di Kuala Nerang pada pukul 5.15 pagi. Masih sunyi dan gelap. Nasib baik juga tempat bas berhenti dekat dengan masjid, dapatlah kami singgah untuk berehat dan solat Subuh. Sambil-sambil berehat, terfikir juga bagaimana mahu mendapatkan teksi untuk ke
tempat program nanti.
Alhamdulillah, En Embi, kaunselor Kolej Mara Kuala Nerang menawarkan khidmat untuk menjemput dan membawa kami ke tempat program. Lega rasa hati kami. Setibanya di tempat program, saya segera bersiap dan program pun bermula lebih kurang pukul 8.30 pagi.
Di dalam program ini, seperti biasa saya kongsikan beberapa tips dan petua bagaimana pelajar boleh menyerlahkan segala potensi yang terpendam di dalam diri mereka. Saya kongsikan beberapa cerita benar tentang bagaimana orang-orang berjaya bermula dengan rasa tidak yakin dan juga bermula dengan kegagalan. Saya suka benar ceritakan tentang seorang lelaki yang menjual pisang goreng tetapi mempunyai pendapatan bulanan yang sangat mengkagumkan. Ini adalah bukti bahawa jika kita boleh menggunakan tenaga akal fikiran kita sebaiknya, kita akan
berjaya tidak kira dalam bidang apa sahaja pekerjaan kita nanti.
Setelah tamat program, saya berbisik kepada En Ihsan, “Eh, sekejap je rasa dah habis program hari ni ye, tak rasa penat pulak.” En Ihsan hanya mengangguk dan tersenyum kerana dia tahu kami agak penat kerana berada di dalam bas sepanjang malam. Sebab utama mengapa kami rasa kurang letih mungkin disebabkan maklum balas dan tenaga yang diberikan oleh para peserta program ini. Mereka sangat ’sporting’ dan bekerjasama dalam semua aktiviti yang telah saya berikan. Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar daripada Kolej Mara Kuala Nerang ini.
Terima kasih juga kepada En Embi yang menjadikan program ini satu kenyataan. Semoga para peserta akan mendapat kejayaan seperti yang mereka idam-idamkan. ![]()









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













