Sun 3 Aug 2008
Brain Based Learning bersama Pusat Minda Terengganu
Posted by Osman Affan under Motivasi, Program Motivasi
Semalam (Sabtu, 2 Ogos) saya berada di kampung halaman Terengganu Darul Iman bagi menjayakan program yang bertajuk Brain Based Learning bersama lebih 100 guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir Terengganu. Program ini dijalankan di Dewan Konvensyen Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Minda Terengganu yang berperanan menganjurkan program-program dan usaha bagi memajukan tahap pemikiran dan intelektual rakyat negeri Terengganu. Usaha murni kali ini ialah untuk mendedahkan para guru kepada beberapa teknik menggunakan keupayaan otak dalam mempelajari sesuatu yang baru.
Semasa upacara pembukaan, CEO Pusat Minda, Datuk Hj Saidi telah memberi beberapa penjelasan yang sangat menarik. Kata beliau begitu banyak usaha yang dijalankan untuk memastikan guru-guru pandai mengajar. Hasilnya tidak dinafikan begitu ramai guru yang hebat mengajar. Namun sayangnya, kehebatan guru mengajar tidak cukup jika pelajar sendiri tidak tahu bagaimana teknik untuk belajar. Jadi penekanan perlu diberikan kepada usaha membekalkan pelajar dengan teknik belajar berkesan agar kehebatan guru mengajar tadi dapat disambut dengan kebolehan pelajar untuk belajar. Ini pasti boleh memberikan hasil yang dinginkan. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Dato’ Hj Saidi ini.
Program kali ini juga sangat istimewa kerana di dalam senarai guru yang hadir, turut hadir ialah 3 guru yang pernah mengajar di sekolah saya iaitu di SMKA Tok Jiring. Dua daripada guru ini pernah mengajar saya iaitu Cikgu Rahaida dan Ustazah Rahimah. Tidak dapat saya bayangkan betapa seronoknya saya dapat bertemu semula dengan guru-guru saya ini. Ustazah Rahimah terutamanya, beliau mengajar saya Bahasa Arab semasa saya berada di tingkatan 1. Saya masih ingat lagi cara beliau mengajar dan bagaimana beliau memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti. Alhamdulillah, Ustazah Rahimah masih ingat pada saya sebagai muridnya walaupun kali terakhir saya belajar dengan beliau ialah 19 tahun lalu! Terima kasih ustazah! :) (Bila berbual dengan beliau, saya rasa saya jadi budak tingkatan 1 semula)
Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Pusat Minda terutamanya Dato’Hj Saidi dan Dr. Wan Shaari kerana telah menjemput saya bagi menjayakan program ini. Tidak lupa ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru yang hadir meskipun mereka agak sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain yang mungkin lebih penting. Semoga pertemuan semalam membuahkan hasil dan manfaat yang diinginkan. ![]()




Untuk membacanya 


Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













