Wed 11 Jun 2008
Email berkenaan pengurusan masa di asrama
Posted by Osman Affan under Jawapan, Motivasi, Teknik Belajar
Assalamualaikum Cikgu,
Saya ialah salah seorang pelajar tingkatan empat salah sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Sudah masuk
lima bulan saya menetap di sekolah asrama. Saya mempunyai masalah tentang pengurusan masa dan cara pembelajaran saya di sekolah dan asrama. Saya perlukan bantuan dan nasihat Cikgu agar saya tidak terus kecundang dalam pelajaran dan memusnahkan harapan kedua-dua ibu bapa saya.
Saya berasa kesuntukan masa untuk mengulangkaji pelajaran di sekolah. Padahal, masa yang diperuntukkan kepada pelajar untuk belajar adalah lebih kurang sama dengan masa saya belajar di rumah. Saya tidak dapat belajar kerana berada di dalam sebuah bilik yang dipenuhi pelajar lain. Sebab itulah saya tidak belajar dengan sepenuh tumpuan semasa waktu prep. Minda saya masih di tahap lama yang beranggapan bahawa rumah ialah tempat untuk belajar. Hal ini kerana saya amat selesa jika belajar dalam keadaan di dalam sebuah bilik tanpa gangguan sesiapa. Apabila tiba di asrama iaitu pada jam 11.00 malam, saya perlu menyiapkan diri untuk bacaan Al- Mulk iaitu pada jam 11.30 malam. Manakala pada jam 11.45 malam, semua lampu akan ditutup. Jadi, saya tiada masa untuk belajar. Terdapat juga bilik bacaan untuk kegunaan pelajar yang ingin mengulangkaji sehingga lewat malam. Akan tetapi, saya masih berasa tidak selesa kerana saya tidak dapt bercakap iaitu menerangkan perkara yang saya sedang pelajari. Oleh itu, saya bertindak untuk hanya belajar di hadapan pintu dorm dengan berbekalkan lampu di korridor. Saya tahu, cara ini akan merosakkanm mata, tetapi, ramai pelajar yang melakukannya juga. Namun, saya masih kurang selesa kerana akan menganggu ketenteraman rakan-rakan lain yang hendak tidur. Akibatnya, saya tidak dapat mengulangkaji pelajaran.
Apabila berada di rumah, cara saya belajar ialah dengan meluahkan kembali melalui percakapan seperti menerangkan perkara-perkara yang saya pelajari. Apabila saya berada di sekolah, semestinya saya tidak boleh melakukannya kerana akan mengganggu rakan yang lain. Oleh itu, saya cuba hanya membisikkan sahaja apa yang saya pelajari. Namun, saya tidak sepenuhnya faham akan apa yang saya pelajari.oleh itu, tahap kefahaman saya boleh diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan sahaja. Saya juga ada mencuba mencari tempat untuk belajar seorang diri. Namun, saya bimbang kerana waktu malam yang gelap selain tiada pondok belajar. Jika di perpustakaan pula, saya juga tidak dapat bercakap menerangkan perkara yang saya sedang pelajari di sana .
Selain itu, saya juga berasa malu untuk bertanya dengan anggapan bahawa rakan lain akan memandang serong terhadap saya. Oleh itu, saya tidak akan faham sepenuhnya. Walhal, saya merupakan orang yang paling banyak bertanya di sekolah saya sebelum saya masuk ke sekolah berasrama penuh ini. Saya juga sudah banyak berubah sikap semenjak masuk ke sekolah berasrama penuh. Saya sering beranggapan bahawa saya ialah pelajar baru. Jika dahulu, saya merupakan seorang pelajar yang disegani kerana sering mendapat nombor satu dalam peperiksaan, sekarang tidak lagi. Saya tahu, hal ini berkaitan dengan ¡kedudukan¢ yang telah saya cipta selama tiga tahun di sekolah lama.
Jika dahulu, saya selalu mengimpikan sekolah berasrama penuh kerana gurunya lebih berpengalaman dan dapat banyak memberi input kepada pelajar, sekarang tidak lagi. Hal ini kerana , sekolah saya masih lagi setahun jagung. Saya tidak katakan bahawa guru mudanya tidak berkaliber. Namun, mereka masih lagi belum cukup pengalaman. Saya tahu, saya perlu bekerja keras dengan belajar sendiri, namun, saya tidak dapat input sepenuhnya dari guru. Saya dapat membandingkan betapa guru di sekolah lama saya akan menerangkan satu persatu apa yang dipelajari. Namun di sekolah berasrama penuh ini, guru hanya akan menerangkan yang penting sahaja dengan pelajar memahami yang lainnya sendiri. Saya tahu, saya perlu belajar sendiri, namun, saya kesuntukan masa.misalnya, saya perlu banyak membaca dan melakukan latihan untuk subjek Mathematics dan Additional Mathematics. Say juga sedar bahawa melalui latihanlah saya kan faham akan ilmu Mathematik ini. Namun, kekangannya ialah masa. Kesannya, akibat bertimbun subjek yang perlu saya baca, saya menangguhkan kesemuanya hingga terlupa .
Saya amat memohon pada Cikgu agar menolong saya menyelesaikan masalah saya ini. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Wassalam.
Waalaikumsalam A.Z.
Terima kasih kerana menghantar email kepada saya. Saya memilih untuk menulis jawapan saya di sini kerana keunikan isi kandungan email A.Z. Saya rasa macam terbaca kisah saya dan kawan-kawan saya sendiri dulu. Tambahan pula saya suka cara A.Z. menulis apa yang mungkin selama ini bermain di fikiran sahaja. Tulisan yang mempunyai nilai adab yang tinggi ini menunjukkan A.Z. adalah seorang yang bersungguh-sungguh mahu belajar dan meningkatkan pencapaian diri. Tahniah dahulu saya ucapkan.
Ada 3 perkara yang ingin saya katakan.
Pertama, perubahan sememangnya tidak menyelesakan. Saya biasa mendengar rungutan tentang berpindah ke tempat baru daripada hampir semua sahabat yang saya kenali semasa saya berpindah ke asrama penuh di tingkatan 4 dulu. Malah, sayalah salah seorang yang suka merungut tu (walaupun hanya dalam hati). Yang mana tidak tahan akan perubahan, memohon bertukar ke sekolah lama atau ke sekolah lain. Apa boleh buat, itu pilihan mereka. Saya buat andaian bahawa bertukar ke sekolah lama bukanlah pilihan A.Z. Jadi, A.Z perlu bersabar dan cepat-cepat sesuaikan diri dengan cara belajar baru ini. Jangan rasa terkilan kerana tempat baru tidak sama dengan tempat lama kerana cabaran di tempat baru boleh memberi kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan.
Saya faham yang tempat baru ini tidak berapa sesuai dengan gaya A.Z yang suka belajar seorang diri. Namun, mungkin sesuatu boleh dilakukan agar A.Z rasa seolah-olah sedang belajar seorang diri di dalam bilik yang ramai orang seperti melatih minda untuk fokus 100% kepada apa yang sedang dilakukan. Bayangkan kalau seseorang sedang membaca buku yang sangat diminati di dalam sebuah bilik yang penuh dengan orang lain. Adakah dia akan sedar tentang orang ramai disekelilingnya? Tentu tidak bukan? Ini kerana mindanya tertumpu 100% kepada apa yang dilakukan. Cadangan lain mungkin boleh gunakan walkman (jika dibenarkan di dalam dewan belajar) dan pasang lagu berentak perlahan tanpa lirik. Ia boleh membuat kita belajar dalam dunia kita tersendiri.
Kedua, teruskan cara belajar dengan bercakap kepada diri sendiri. Saya percaya itu teknik yang bagus untuk memahami sesuatu. Bercakap sendiri itu tidak perlu kuat kan? Jadi ia tidak akan mengganggu sesiapa. Ia seperti kita membaca ayat bacaan dalam sembahyang….. dilafazkan tetapi telinga kita sahaja yang mendengarnya. Cuma yang belajar menggunakan cuma cahaya lampu koridor tu perlu dikurangkan atau dihentikan. Kesannya bukan sekarang, tetapi akan datang. Ia mungkin boleh menyebabkan pening kepala atau migrain nanti. Alternatif, kalau boleh, beli lampu membaca dan tarik ke depan pintu. Jadi, ada lampu koridor dan lampu membaca. Lebih terang kan?
Ketiga, jangan bimbang dengan pengalaman cikgu di sekolah baru. Bagaimana supaya tidak bimbang? Berhenti daripada membandingkan cikgu lama dan baru. Sudah pasti ada beza antara mereka. Namun kalau A.Z asyik membandingkan mereka, pasti A.Z akan sentiasa nampak kelemahan dan kekurangan cikgu baru. Ini akan melemahkan semangat dan mengurangkan kebolehan A.Z untuk faham apa yang cikgu baru sedang ajarkan. Apa yang perlu dibuat ialah, sentiasa bayangkan yang A.Z dapat faham dengan baik apa yang cikgu sedang ajarkan. Lebih baik lagi, jumpa cikgu selepas waktu kelas. Cikgu-cikgu selalunya tidak ada masalah untuk membantu pelajar di luar waktu kelas. Cuma perlu cari waktu yang sesuai.
Akhir sekali, saya nasihatkan 2 perkara. Pertama, jumpa kaunselor sekolah untuk dapatkan bimbingan dan nasihat. Saya percaya kaunselor sekolah lebih memahami dan boleh membantu. Kedua, dalam tingkatan 4 ini, kuasai teknik belajar berkesan sebanyak mungkin. Lebih banyak teknik belajar dikuasai, lebih mudah semua masalah yang dibincangkan tadi dapat diselesaikan.
Selamat berjaya A.Z!
























January 6th, 2009 at 1:43 pm
salam sejahtera. terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya ini. tuan, bagaimana cara terbaik sebagai seorang pelajar untuk meningkatkan penggunaan kedua-dua minda(hoka dan hoki)?
2- bagaimana cara untuk menguatkan deria ke-6 manusia( skop pelajar yang yang menduduki SPM).
thanks a lot tuan,
January 6th, 2009 at 1:44 pm
bagaimana untuk menguasai kemahiran komunikasi interpersonal? dan komunikasi di hadapan audium?
tq
January 6th, 2009 at 1:47 pm
salam. bolehkah tuan memberikan penerangan yang terperinci mengenai alam separa sedar dan kelebihannya? terima kasih tuan
February 15th, 2009 at 3:04 pm
Assalamualaikum..
Tuan,boleh saya dapatkan maklumat mengenai peranan kaunselor dalam menangani pelajar kurang asertif?saya memerlukan maklumat ini daripada seorang kuanselor yang berpengalaman dalam menyiapkan assignment saya.terima kasih atas kerjasama daripada tuan..