Wed 31 Oct 2007
Jika saya mahu makan, sanggupkah saya membayar harganya?
Posted by Osman Affan under Fikir, Motivasi
No Comments
Pernahkah anda memasuki mana-mana restoran dan rasa terliur melihat makanan yang dihidangkan? Tentu pernah bukan? Soalan saya kepada anda, jika anda benar-benar mahu makan makanan di suatu tempat itu, apakah anda sanggup membayar harganya? Adakah anda akan masuk ke mana-mana kedai makanan segera atau restoran dan meminta agar mereka menurunkan harga supaya anda boleh makan? Adakah anda akan merungut kepada tuan punya kedai kerana tidak memberikan makananan itu semua kepada anda secara percuma?
Begitu juga dengan kejayaan, jika anda benar-benar mahukan kejayaan, adakah anda sanggup membayar harga untuk mencapai kejayaan tersebut? Yang bagusnya, harga kejayaan tidak semestinya dibayar dalam bentuk wang ringgit. Selalunya ia perlu dibayar dalam bentuk keinginan dan kesanggupan untuk melakukan apa sahaja yang perlu walaupun ia susah dan tidak menyelesakan.
Ini yang biasa saya lihat dalam program-program yang biasa saya jalankan. Jika program itu dijalankan di universiti atau kolej, pelajar selalunya dapat menghadirinya dengan percuma. Harga yang mereka perlu bayar bukan dalam bentuk kewangan tetapi dalam bentuk kesanggupan untuk hadir dan menumpukan perhatian. Namun sayangnya, harga ini terlalu mahal bagi kebanyakan pelajar. Oleh kerana harga ini terlalu mahal bagi mereka, mereka memilih untuk tidur, balik kampung atau bersiar-siar dengan kawan. 
Saya sendiri faham bahawa harga yang kita nampak mungkin kelihatan mahal sekarang, namun pulangannya pasti lebih tinggi daripada harga yang dibayar itu. Selalu saya dengar komen pelajar yang datang ke program-program pembangunan diri yang mengatakan bahawa mereka sangat beruntung kerana dapat hadir. Walaupun ada program yang mereka perlu bayar dengan wang ringgit, hasilnya melebihi apa yang mereka bayar itu. Akhirnya, mereka melangkah jauh ke depan melebihi sahabat-sahabat mereka yang enggan membayar tadi.
Jadi, sekali lagi soalan ini saya tujukan kepada anda dan juga kepada diri saya sendiri, jika anda / saya mahu makan, sanggupkah anda/saya membayar harganya? Mari kita fikirkan……






















