Satu perkara yang saya sedar sejak menceburkan diri dalam bidang ‘training’ ialah saya mula melihat kepada ‘apa yang boleh dipelajari’ dalam situasi yang saya hadapi. Contohnya, jika saya sedang berjalan dan terpijak lubang hingga hampir jatuh, saya mula terfikir bahawa pasti ada orang yang akan menyalahkan lubang tersebut kerana berada di tengah jalan atau pasti juga ada orang yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak melakukan sesuatu untuk menutup lubang tersebut. Namun yang lebih penting, saya pasti saya perlu menyalahkan diri saya sendiri kerana terlalu leka berjalan hingga tidak sedar ada lubang di tengah jalan.

DarwishSama seperti apabila saya melihat gelagat anak-anak saya. Setiap kali saya lihat anak-anak saya menunjukkan sifat degil, keras kepala atau terlalu manja, saya selalu cuba kaitkan dengan diri saya sendiri suatu masa dulu dan juga sekarang. Walaupun saya kurang selesa apabila anak saya menangis dengan kuat dan buat hal di depan orang ramai, saya terfikir tentu ibu bapa saya juga mengalami masalah yang sama suatu masa dulu. Selalu saya dengar cerita ibu saya tentang dalam 4 adik-beradik saya, sayalah yang paling banyak kerenah semasa kecil dahulu.

Ini membuat saya terfikir, adakah kedegilan saya di masa kecil dulu merupakan satu perkara yang baik atau sebaliknya? Sampai sekarang dalam beberapa perkara tentang hidup saya masih lagi sangat degil. Pelik juga kadangkala apabila saya terfikir bahawa kedegilan saya itu ada membawa kejayaan yang membanggakan buat saya. Adakah ini bermakna saya perlu kekal degil dan tidak pedulikan kata-kata orang lain? Setiap kali saya melihat kedegilan anak-anak saya, saya terfikir ‘adakah kedegilan mereka ini akan membantu mereka apabila mereka dewasa nanti?’.

Bagaimana dengan anda? Cuba imbas kembali zaman kanak-kanak anda. Adakah anda degil dan susah dikawal oleh ibu bapa? Adakah anda jenis kanak-kanak yang kalau mahukan sesuatu, anda tidak akan berhenti meminta sehinggalah anda dapat apa yang anda mahukan? Adakah anda degil dan keras kepala hingga tidak ada sesiapa pun yang boleh menukar fikiran anda? Fikirkan situasi di mana anda begitu degil tentang sesuatu dan ingat semula apa yang anda perolehi akibat kedegilan itu.