berita gembiraDaripada tips semalam, ada satu perkara yang anda perlu pelajari. Saya ada katakan bahawa pujian yang disampaikan dibelakang tuan punya diri akan berbunyi ikhlas dan mendatangkan kesan yang baik. Jadi tips untuk hari ini, jika anda hendak memuji kawan-kawan anda, puji mereka tanpa kehadiran mereka. Maksudnya, puji mereka semasa mereka tidak ada bersama anda.

Jika anda bercerita tentang perkara yang tidak baik tentang kawan anda dibelakang mereka, itu adalah gosip dan mengumpat. Perbuatan ini adalah sangat tidak baik dan boleh merosakkan hubungan dan juga nama baik anda. Tidak ada orang yang suka kepada seseorang yang suka mengumpat dan menyebarkan gosip. Tetapi, jika anda puji kawan ada dibelakang mereka, perkara sebaliknya akan berlaku. Anda akan dilihat sebagai seorang yang ikhlas dan baik hati.

Apabila anda sedang berborak-borak dengan sekumpulan pelajar dan anda mahu bercerita tentang pelajar lain, ceritakan tentang yang baik sahaja. Jika anda kawan anda dalam kumpulan itu yang bercerita tentang keburukan pelajar lain, anda jangan turut serta dengan memberi komen atau menambah-nambah cerita itu. Jika sesi bercerita tentang keburukan pelajar lain itu berterusan, minta diri dan tinggalkan kumpulan tersebut seketika.

Tujuan saya berkongsi tips ini bukanlah untuk memanipulasikannya dan cuba buat anda kelihatan baik di depan kawan-kawan anda. Tips ini adalah untuk anda amalkan dan jadikannya sebahagian daripada perwatakan anda. Anda akan jadi insan yang lebih baik jika anda sebarkan pujian dan berita baik berbanding jika anda sebarkan kutukan, fitnah, gosip dan berita buruk.

Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah perkara baik yang anda boleh puji kawan-kawan anda? Apakah berita-berita baik yang anda boleh kongsikan bersama mereka?