sahabat baikSemasa saya di alam persekolahan, saya ada beberapa kawan yang saya suka dampingi. Kawan-kawan ini berbeza sedikit daripada kawan-kawan lain. Mereka kelihatan seolah-olah mereka sudah tahu dan jelas apa yang mereka mahu capai dalam hidup mereka. Mereka fokus dalam kerja mereka dan mereka sangat hebat dalam apa-apa yang mereka lakukan.

Jika mereka bermain sukan, mereka dapat mewakili sekolah dan daerah. Jika mereka belajar, mereka dapat mendapat markah yang sangat tinggi dalam peperiksaan. Jika mereka berpersatuan, mereka dapat jalankan program-program yang menarik dan kreatif. Jika mereka berkawan, mereka jadi kawan yang paling baik.

Kawan-kawan begini sangat istimewa kerana satu perkara; mereka selalu memberi saya ilham dan semangat untuk berjaya. Apabila saya lihat mereka fokus dalam pelajaran, saya juga bersemangat untuk jadi fokus dan belajar bersungguh-sungguh. Apabila saya lihat mereka bijak menganjurkan program menarik, saya juga jadi bersemangat untuk belajar bagaimana cara melakukannya. Hingga kini saya masih merasa kesan baik kerana berkawan dengan kawan-kawan begini.

Mesej saya di dalam tip ini ialah, apa kata anda yang jadi seorang kawan yang boleh membuat kawan-kawan anda yang lain bersemangat apabila mereka berdamping dengan anda? Apa kata kalau anda yang jadi seperti kawan-kawan saya tadi iaitu kawan-kawan yang fokus dalam apa yang mereka lakukan dan berjaya mencapai apa yang mereka mahu.

Jika anda mahu jadi seorang kawan yang boleh menimbulkan rasa semangat kepada kawan-kawan yang lain, anda sendiri mesti fokuskan kepada kejayaan peribadi anda. Anda mesti tahu apa yang anda mahu capai dalam hidup anda dan anda perlu selalu berusaha untuk mencapai kejayaan. Dalam masa yang sama, anda perlu kekalkan hubungan yang baik dengan kawan-kawan anda.

Ada pelajar yang terlalu fokus mengejar kejayaan akademik hingga tidak menghiraukan kawan-kawan yang lain. Jika ini berlaku, anda tidak akan berjaya dalam konteks yang sebenar. Kawan-kawan yang lain juga tidak akan mahu mengikut kejayaan anda kerana mereka akan sangka, jika mahu berjaya, mereka perlu hidup berseorangan tanpa kawan. Nyata itu adalah satu tanggapan yang salah.

Jadi, mulai hari ini, kaji semula diri anda. Anda boleh rujuk semula semua tips-tips yang pernah saya kongsikan disini. Kejar kejayaan dari semua aspek supaya kejayaan anda lebih bermakna dan seimbang. Selamat berjaya!