Semalam saya berada di Sekolah Al-Ikhlas Taman Permata bagi meluangkan masa bersama beberapa penulis hebat PTS. Perjumpaan ini merupakan satu majlis ilmu di mana kami berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai banyak perkara terutamanya mengenai industri latihan. Ini juga merupakan salah satu aktiviti awal TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia).

Puan Ainon, Sifu Unika PTS mengetuai majlis ilmu ini dengan berkongsi begitu banyak sekali maklumat dan pengalaman. Turut hadir di majlis ilmu ini ialah Dr. Tengku Asmadi, Tuan Fauzul Naim, Tuan Fadzli Yusof, Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Zamri Mohamad, Puan Norlela Zubir, Tuan Sabtu dan anakanda beliau Tuan Azzam. (Gambar ihsan Tuan Sabtu. Tidak ada di dalam gambar, Tuan Zamri Mohamad & Puan Norlela Zubir)

Majlis Ilmu Tamrin

Satu perkara yang sangat menarik mengenai majlis ilmu ini bagi saya ialah majoritinya ialah ‘trainer’. Bayangkan bagaimana agaknya majlis ilmu kecil yang dihadiri oleh orang-orang yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing? Bagi saya, minda saya seperti meletup-letup dengan ilham dan cara pemikiran yang baru. Apa yang saya sedar, kepakaran seseorang adalah sangat berharga. Namun apabila digabungkan kepakaran-kepakaran itu, ia menjadi lebih hebat dan bernilai.

Ini mengingatkan saya kepada konsep ‘Master Mind Group’ yang banyak diperkatakan di barat. Master Mind Group ialah sekumpulan orang yang berkumpul dengan tujuan ingin berkongsi dan menambahkan ilmu pengetahuan sesama mereka. Mereka selalunya mempunyai kepakaran yang berbeza-beza. Mereka membuat perjumpaan atau berhubung melalui email untuk berkongsi maklumat-maklumat baru yang mereka perolehi. Dengan perkongsian begini, sesuatu maklumat dan pengetahuan baru itu lebih cepat dikuasai dan lebih mudah dipraktikkan dengan berkesan.

Saya lihat majlis ilmu bersama penulis ini sebagai Master Mind Group juga. Namun, lebih tepat kalau saya katakan ini adalah Islamic Master Mind Group. Banyak perbincangan kami berkisar di sekitar mengkaji semula sama ada latihan yang kami berikan kepada peserta selama ini menjurus ke arah pemikiran barat atau ke arah pemikiran Islam yang sejati.

Disebabkan kebanyakan buku popular mengenai kepimpinan, motivasi, perniagaan, keusahawanan dan sebagainya datang daripada barat, ada kecenderungan ‘trainer-trainer’ muda masa kini (termasuklah saya walaupun sudah tidak terlalu muda) mengikut model barat atau menggunakan contoh-contoh daripada barat (terima kasih Puan Ainon kerana menyedarkan saya tentang perkara ini). Ini menyebabkan orang barat semakin disanjungi padahal kejayaan orang-orang tempatan atau orang-orang Islam juga tidak pernah kurang hebatnya.

Ini membuka mata dan hati saya agar berusaha lebih keras untuk mengkaji dan menyebarkan kepada peserta tentang kehebatan orang-orang Islam kita sendiri tentang kehebatan dan kecemerlangan yang sudah lama wujud di dalam diri. Semoga pertemuan sebegini akan berterusan dan ilmu yang dikongsikan dapat disebarkan kepada lebih ramai orang agar ia dapat memberi manfaat kepada semua.