Osman Affan di Sarawak

Dalam proses mengemaskin blog saya siang tadi, saya terbaca satu komen yang ditulis oleh seorang bekas pelajar saya daripada SMK Menerong, Kuala Berang Terengganu. Komen itu berbunyi (saya perbetulkan ejaan dan tukarkan daripada loghat Terengganu kepada loghat biasa)

“Salam cikgu…sy ex-student SMK Menerong…maybe cikgu dah tak ingat saya dan kawan2 lain kan? hehe..takpe..janji saya ingat lagi cikgu..masa cikgu 1st datang SMK Menerong..saya form 3..saya ingat lagi..dulu cikgu beritahu cikgu ni akan jadi motivator..akhirnya,cikgu dah berjaya ek…Congratulati0n cikgu!!!”~Basyariah, Ex-SMK Menerong

Pada pendapat saya, bagi seorang guru, apabila ada anak murid yang masih ingat tentang dirinya, ia merupakan satu penghargaan yang amat besar. Terima kasih. Sebab itulah kalau kita ada terserempak dengan mana-mana guru yang pernah mengajar kita, usahakan untuk menegur mereka. Tidak perlu bimbang jika mereka sudah lupa kerana apa yang pentingnya, ingatan kita buat mereka sudah cukup boleh menggembirakan hati mereka.

Kali pertama saya datang ke SMK Menerong yang dimaksudkan oleh Basyariah ialah pada bulan Mac 2003. Saya meninggalkan SMK Menerong pada Jun 2003. Di dalam buku dan penulisan saya yang lepas, saya ada ceritakan tentang SMK Menerong ini dan kesannya kepada diri saya dalam industri pendidikan ini.

Osman Affan

Apabila saya baca komen Basyariah ini, saya terfikir, saya pernah beritahu pelajar saya bahawa saya akan jadi motivator? Hmmm…mungkin saya sudah terlupa perkara tersebut tetapi ia tidak mustahil. Apa yang saya benar-benar ingat, setiap kali saya mengajar, lima minit terakhir saya akan kongsikan dengan pelajar saya sama ada mutiara kata atau saya kongsikan teknik-teknik belajar berkesan yang boleh mereka gunakan. Lima minit terakhir ini adalah sesi yang paling menyeronokkan saya. Besar kemungkinan inilah yang mendorong saya lakukan apa yang saya lakukan sekarang ini.

Hasil perkongsian ini, saya lihat pelajar ada memberikan maklumbalas yang baik daripada segi meningkat semangat untuk belajar dan ketahanan mental apabila menghadapi topik-topik yang susah. Ini benar-benar memberi saya ilham bahawa mana-mana pelajar yang didedahkan kepada teknik yang betul, mempunyai peluang yang besar untuk berjaya dengan cemerlang.

Jadi, ketika itu, saya mungkin ada luahkan kepada pelajar saya bahawa saya bercita-cita mahu kongsikan semua teknik belajar yang saya tahu. Hasrat dan cita-cita saya ketika itu sebenarnya bukan hendak menjadi motivator tetapi jurulatih (trainer) teknik belajar. Namun di Malaysia kita jarang mendengar gelaran ‘Study Skill Trainer’. Gelaran yang biasa digunakan ialah Pakar Motivasi atau Motivator.

Kadangkala ada rasa kebimbangan dalam diri saya untuk menerima gelaran sebagai seorang motivator kerana tugas seorang motivator adalah sangat berat (pada pandangan saya). Namun, demi keyakinan diri, saya anggap gelaran itu adalah sebagai satu doa yang baik untuk diri saya.

Osman Affan

Bagaimana dengan anda, sahabat-sahabat pembaca yang saya hormati sekalian? Adakah anda ada apa-apa cita-cita yang masih belum ditunaikan? Soalan lebih penting, adakah anda masih berusaha untuk mendapatkan cita-cita itu atau sudah melupakannya disebabkan halangan dan rintangan yang sentiasa melintas di hadapan anda?………………………………………..

Saya ucapkan selamat mencapai impian….. Semoga apa yang kita benar-benar idamkan, benar-benar menjadi milik kita….