DukaSebagai manusia biasa, kita semua mungkin sudah biasa merasa pelbagai perasaan. Ada kalanya kita gembira dan teruja. Ada kalanya kita sedih dan sengsara. Satu perkara yang jelas, kebanyakan daripada kita sentiasa menginginkan rasa gembira dan ceria menguasai diri. Apabila hati gembira dan semangat yang tinggi menguasai diri, kita terasa seperti tidak ada satu perkara pun yang mustahil untuk dilakukan. Namun hakikatnya, perasaan itu semua bukan hadir setiap masa. Lebih menakutkan, lebih banyak ketikanya diri kita hanya dibelenggu rasa tidak selesa, marah, sedih, resah dan gelisah…

Pernahkah kita merasa begitu sedih sehingga langsung tidak mampu berbuat apa-apa? Pernahkah kita merasa begitu murung sehingga perkara yang selalunya menggembirakan kita pun gagal menjalankan tugasnya? Pernahkah kita merasa sedih, lemah semangat dan hilang keyakinan diri sehingga kita rasa seperti terperangkap dan tidak boleh lagi melarikan diri?

Satu soalan yang saya suka tanyakan kepada orang-orang yang biasa mengalami perkara sebegini ialah apakah yang mereka lakukan untuk mengeluarkan diri mereka daripada belenggu perasaan-perasaan  tersebut? Maksudnya, jika anda sedang berduka, apakah yang anda lakukan untuk menceriakan diri anda semula? Jika anda sedang hilang keyakinan diri dan lemah semangat, apakah yang anda akan lakukan untuk meningkatkan semula semangat dan keyakinan diri tersebut?

SadWalaupun saya banyak berkongsi tips-tips mengawal tekanan perasaan dan bagaimana untuk mengawal diri dalam keadaan marah, ada ketikanya saya juga dilanda masalah-masalah yang saya sebutkan tadi. Namun tidak mengapa, itu buktinya saya juga manusia biasa seperti orang lain. :) Apa yang patut kita fikirkan bersama ialah di saat kita sedang merasa semua perasaan yang negatif itu, apakah yang boleh kita lakukan agar diri kita pulih seperti biasa. Malah, apakah yang boleh kita lakukan agar bukan sahaja kita pulih, malah bangkit lebih hebat daripada biasa.

Dalam beberapa posting yang akan datang, saya akan usahakan mencari dan berkongsi beberapa tips atau petua yang boleh kita gunakan semasa kita sedang bersedih. Tips dan petua ini akan saya kompilasikan dan saya namakannya Motivasi Diri Di Kala Duka.

SadHarapan saya, tips dan petua ini semua akan dapat kita gunakan pada bila-bila masa sahaja terutamanya apabila kita sedang berada dalam keadaan emosi yang mungkin kurang stabil. Jika anda juga ada tips atau petua yang boleh dikongsi bersama, jangan segan silu untuk berkongsi agar manfaatnya dapat kita nikmati bersama.

Teruskan bersama MotivasiBelajar.com untuk posting-posting mengenai topik Motivasi Diri Di Kala Duka ini. Selamat membaca. :)