UIA GombakIsnin lalu, saya berada di Hotel Seri Malaysia Bagan lalang untuk mengendalikan satu sesi membina keyakinan diri bersama pelajar antarabangsa Univerisiti Islam Antarabangsa. Program ini sebenarnya bertujuan untuk membantu para pelajar mengatasi rasa takut mereka untuk bercakap di dalam kelas, bersemuka dengan pensyarah dan juga bercakap di khalayak ramai.

Pada pandangan saya, berdasarkan program-program yang saya jalankan ini, pelajar antarabangsa selalunya tidak mempunyai masalah takut untuk menyuarakan pendapat mereka di dalam kelas atau di depan pensyarah. Malah mereka seronok jika diberi peluang berbicara. Masalah takut dan gementar hanya banyak dapat dilihat dikalangan pelajar tempatan. Jadi, di dalam sesi bersama pelajar antarabangsa ini, saya kongsikan tips dan teknik bagaimana mahu meluahkan pendapat dan pandangan tanpa menimbulkan salah sangka mahupun menyakiti hati sesiapa.

UIA GombakKadangkala, anda mungkin mahu menyatakan sesuatu yang baik. Tetapi, cara anda bercakap, nada suara anda, gerak geri tubuh badan anda boleh menimbulkan salah faham. Salah faham ini selalunya membuat pensyarah terasa seperti anda sedang berkelakuan biadab dan tidak menghormati mereka. Jadi, saya terangkan beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya salah faham ini tidka berlaku dan supaya hubungan baik antara pelajar dan pensyarah dapat dijalinkan.

Ada satu tips untuk anda jika mahu bercakap dengan seseorang yang perlu anda hormati. Cara paling selamat dan pasti untuk tidak menimbulkan salah faham semasa berbicara ialah dengan menjaga nada suara anda. Perhatikan nada dan cara anda bercakap. Anda boleh minta pendapat kawan-kawan anda mengenai cara anda bercakap. Latih supaya anda boleh bercakap dengan nada yang lembut. Untuk lakukan ini dengan mudah, cuba bercakap sambil tersenyum. Apabila anda senyum, anda akan mewujudkan satu suasana yang ceria dan gaya percakapan anda juga akan jadi lebih menarik. (Cuma berhati-hati, saya kata senyum, bukan sengih…. kalau cakap sambil tersengih, nanti nampak macam kerang busuk pula…. :)  )