Thu 20 Aug 2009
Rakaman di Traxx.FM dan Salam.FM
Posted by Osman Affan under Motivasi
No Comments
Semalam saya berpeluang membuat rakaman segmen Reflection di siaran radio Traxx.fm. Segmen ini berlangsung selama 10 minit dan saya diminta untuk membincangkan tentang beberapa isu yang melibatkan unsur-unsur motivasi. Setakat semalam, telah 3 rakaman yang dilakukan dan ada lebih kurang 7 hingga 12 lagi rakaman yang perlu dilakukan. Rakaman ini adalah kerjasama antara Traxx.fm dengan Jakim.

Ini merupakan pengalaman kedua saya merakamkan segmen untuk radio. Pengalaman pertama ialah menerusi rakaman slot pendek motivasi untuk Asyik.fm. Pengalaman tersebut banyak mengajar saya bagaimana untuk menenangkan diri dan mengawal kadar kelajuan saya bercakap semasa rakaman. Jika anda pernah menghadiri program-program yang saya kendalikan, anda pasti sedar ada ketikanya saya bercakap dengan begitu laju sekali. Sudah menjadi tabiat terutamanya ketika saya sedang bersemangat menyampaikan sesuatu.
Namun semangat itu perlu dikawal semasa rakaman di radio kerana apabila saya dengar semula kadar kelajuan saya bercakap, saya sendiri ketawa. Laju sungguh! Alhamdulillah, dapat juga saya pelajari sesuatu.
3 rakaman yang telah berjaya dirakam semalam bertajuk
- Planning for our future.
- Be grateful for what we have.
- Reading our way to success.
Selain daripada rakaman untuk Traxx.fm, saya juga sempat merakamkan satu slot untuk segmen Pesona di siaran Salam.fm. Segmen ini agak menarik bagi saya kerana saya belum pernah lakukan segmen sebegini. Apa yang saya diminta lakukan ialah ceritakan tentang latar belakang saya dan bagaimana saya mula melibatkan diri ke dalam bidang motivasi dan teknik belajar. Jadi saya hanya bercerita mengenai latar belakang diri saya sejak sekolah rendah hingga sekarang selama lebih kurang 15 minit. Banyak juga yang diceritakan.

Tambahan pula, saya diminta menceritakan tentang prinsip hidup yang saya pegang selama ini. Saya juga diminta untuk menceritakan tentang kejayaan atau pencapaian yang telah saya kecapi selama ini. Alhamdulillah, rakaman ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Traxx.fm dan juga Salam.fm. Setinggi-tinggi perhargaan kepada wakil daripada Jakim, Puan Norlida Mohd Noor yang sudi menjemput saya bagi menjayakan rakaman ini.






















