Satu perkara yang saya selalu tanya kepada para pelajar mengenai puasa ialah, jika esok puasa, apakah yang mereka lakukan malam ini. Kebanyakannya akan menjawab ‘membaca niat’ (tapi ramai juga yang jawab “makan sahur” :)    ). Niat merupakan satu matlamat yang hendak dicapai. Jika anda hendak mencapai sesuatu, cara terbaiknya ialah anda berniat dahulu. Niat anda mestilah jelas supaya anda dapat capai apa yang anda benar-benar hendak. Lihat pada niat puasa.

“Sahaja aku puasa esok hari di bulan Ramadhan kerana Allah Taala”. Ia jelas dan tepat. Jika saya tanya, “Nak buat apa?”, jawapannya nak puasa. Jika saya tanya “Bila nak puasa tu?”, jawapannya “esok”. “Esok tu bila?”, dalam bulan Ramadhan. “Kenapa nak puasa?”, Nak puasa kerana Allah Taala.

Hmm… bukankah ini satu latihan awal untuk kita umat Islam menetapkan matlamat? Rasulullah S.A.W. juga ada bersabda bahawa setiap amal itu bermula dengan niat. Niat akan membantu anda mencapai apa yang anda inginkan.

Orang-orang berjaya memahami konsep ini. Mereka memasang niat tentang apa yang mereka mahu capai. Jika mereka mahu beli kereta baru, niat mereka ialah “Aku nak beli kereta baru Proton Pesona, warna merah metallic, tayar Goodyear, aksesori penuh, downpayment RM10,000 dan mesti dapat sebelum Jun 2008. Bila dapat kereta ni, aku nak bawa keluarga aku berkelah di Port dickson dan aku nak hantar anak-anak aku ke sekolah tiap-tiap hari.”

Itu cuma contoh sahaja. Memasang niat untuk berjaya mungkin tidak sama seperti niat ita berpuasa, tetapi intipatinya adalah serupa. Jika anda mahu capai sesuatu, tuliskan dan sebutkan dengan jelas apa yang hendak dicapai, bila hendak dicapai dan mengapa anda hendak mencapai perkara tersebut. Kajian-kajian lepas dan sejarah sentiasa membuktikan bahawa orang yang tahu niat/matlamat mereka pasti akan dapat mencapainya.

Itulah satu perkara yang kita sudah pelajari di bulan Ramadhan dalam posting kali ini. :)