Wed 26 Sep 2007
Ramadhan dan Kejayaan
Posted by Osman Affan under Motivasi
Setelah anda ada niat, tahu bila ia mahu dicapai dan tahu mengapa dia perlu dicapai, semangat anda akan jadi semakin kuat untuk berusaha mencapainya. Jika anda sudah berniat untuk berpuasa dan mahu melakukannya bersungguh-sungguh, adakah iman anda akan mudah tergugat dengan burger yang dimakan oleh adik-adik anda? Saya percaya tentu tidak bukan. Jika iman anda tergugat lalu makan burger tersebut, ia bermakna niat anda tadi tidak bersungguh-sungguh dan anda tidak benar-benar maksudkan apa yang anda niatkan.
Saya ada kenal seorang sahabat yang sangat kuat semangatnya untuk mengotakan apa yang dia kata mahu lakukan. Jika dia kata mahu belajar, tidak akan ada sesiapa pun yang boleh memujuknya untuk keluar bermain atau membuat perkara lain. Semangat ini benar-benar kelihatan semasa beliau berpuasa. Ada satu ketika saya lihat sahabat saya ini berniat untuk berpuasa sunat pada hari Isnin. Kami tinggal di asrama ketika itu. Selepas solat subuh dan tadarus al-quran, lebih kurang pukul 7.30 pagi, sahabat saya ini dapat tahu bahawa ada latihan bolasepak untuk pemilihan wakil sekolah.
Tanpa berfikir panjang, sahabat saya ini menyertai latihan dan pemilihan itu. Anda boleh bayangkan betapa letihnya bermain bolasepak di waktu pagi selama lebih kurang 2 jam. Apa yang mengejutkan saya ialah sahabat saya ini masih meneruskan puasanya walaupun itu cuma puasa sunat. Dia kelihatan sangat letih menjelang tengahari tetapi masih dengan niat berpuasanya tadi.
Selepas habis sekolah (kami bersekolah sesi petang ketika itu), saya lihat sahabat saya ini tertidur keletihan di atas katilnya. Dia seolah-olah tak mampu nak bergerak langsung. Namun, saya sangat kagum dengan semangatnya. Sahabat saya ini menjadi pelajar terbaik sekolah saya ketika peperiksaan PMR. Dia terus menjadi pelajar terbaik ke mana-mana sekolah dia berada.
Cuba anda fikirkan, adakah anda melatih iman dan semangat anda menjadi kuat di bulan Ramadhan? Adakah anda merungut kerana cuaca panas atau merungut kerana terlepas makan sahur? Bulan Ramadhan adalah masa yang sangat sempurna untuk melatih kekuatan diri anda secara fizikal dan mental. Saya percaya, dalam bulan ini anda perlahan-lahan boleh menguatkan diri anda berpuasa dengan tenang dan kekuatan ini pasti boleh anda gunakan untuk mencapai kejayaan nanti.
Inilah satu kelebihan bulan Ramadhan yang dapat anda pelajari melalui posting kali ini. ![]()









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













