Osman AffanSudah beberapa hari rasanya saya menulis tentang halangan dan impian. Semuanya sebenarnya kerana ada satu impian baru yang muncul di dalam minda saya sejak beberapa bulan lepas.

Disebabkan saya asyik ke sana ke mari mengajarkan teknik untuk menghafal dan juga teknik untuk belajar dengan berkesan, saya terfikir, “Apa agaknya akan jadi kalau semua pelajar di Malaysia mahir dan cekap dengan semua teknik-teknik belajar yang utama? Bagaimana agaknya kalau pelajar lihat fakta untuk dihafal, mereka dengan rasa tenang menghafalnya dengan mudah dan ingat dalam jangka masa yang sangat lama? Bagaimana agaknya kalau pelajar lihat nombor atau tarikh, mereka rasa ia begitu mudah untuk diingat? Bagaimanakah rupa agaknya jika semua pelajar di Malaysia mudah dan cepat untuk menguasai ilmu baru?”

Saya benar-benar percaya kebanyakan pelajar yang tidak dapat kuasai apa yang mereka pelajari adalah disebabkan kurangnya teknik dan strategi yang berkesan. Mereka kata tarikh susah dihafal tetapi setelah ditunjukkan caranya, mereka boleh hafal dengan cepat tanpa sebarang kesukaran.

Maskot SmartStudyIni menimbulkan semangat dan cita-cita di dalam diri saya untuk menyebarkan lagi teknik-teknik SmartStudy yang sudah mula saya ajarkan sejak tahun 2005 ini. Pernah saya suarakan kepada isteri dan sahabat terdekat, bayangkan bagaimana rupanya jika semua pelajar di Malaysia didedahkan kepada teknik SmartStudy dan mereka amalkan setiap kali mereka belajar? Beberapa malam saya tidak dapat tidur lena apabila idea ini memenuhi minda saya.

Seperti yang saya bincangkan beberapa hari lepas, semakin besar sesuatu impian, saya perlu bersedia untuk hadapi cabaran dan rintangan yang agak besar juga. Saya lihat cabarannya ialah di dalam bentuk kesukaran untuk menyebarkan ilmu ini dengan luas dan pantas. satu perkara yang sudah saya lakukan ialah menulis tentang teknik itu di buku dan di blog. Saya juga kongsikan teknik-teknik itu melalui kursus, seminar dan bengkel. Namun cara ini semua masih belum cukup pantas.

Untuk merealisasikan impian saya, saya perlu usahakan agar semua guru di Malaysia mahir dengan teknik belajar yang berkesan. Keupayaan saya untuk berhadapan dengan semua pelajar di Malaysia adalah sangat terbatas. Namun jika saya dapat sampaikan ilmu ini kepada semua guru di Malaysia, usaha saya pasti akan berkesan dengan lebih pantas.

Mindcet Terengganu

Sebagai permulaan, usaha saya sudah dimudahkan apabila saya mendapat peluang untuk berkongsi teknik belajar bersama hampir 300 orang guru yang datang daripada semua sekolah menengah di Terengganu. Bayangkan 300 guru yang menyebarkan maklumat tentang teknik belajar kepada 100 orang murid. Percambahan penguasaan ilmu ini pasti menjadi sangat hebat.

Terima kasih atas sokongan anda selama ini dengan mengunjungi blog ini. Blog saya ini dikunjungi lebih 98% oleh ‘silent reader’. Mereka hadir dan membaca. Banyak ketikanya saya terjumpa silent reader ini semua di program-program yang saya jalankan. Ada yang telah mula membaca sejak saya mula menulis blog ini tetapi belum pernah sekali pun berani untuk meninggalkan apa-apa komen. Malu kata mereka. Tidak mengapa. Tujuan wujudnya blog ini bukanlah untuk memperbanyakkan komen. Saya seronok apabila apa yang saya kongsikan dapat digunakan oleh pengunjung blog ini.

2 minggu lepas contohnya, ada seorang peserta program saya yang datang dengan satu buku tebal bersaiz A4. Terkejut juga saya lihat ketebalan buku tersebut. Tambah terkejut apabila saya lihat buku itu sebenarnya ialah semua kompilasi tips dan petua yang saya kongsikan di www.osmanaffan.com/kompilasi.htm. Saya sedikit tergamam kerana terfikir, banyak juga benda yang sudah saya tuliskan selama ini. :)

Akhir sekali, semoga impian ini menjadi kenyataan satu hari nanti……..