SmartStudy

Saya telah pergi ke banyak sekolah, kolej dan juga universiti. Saya telah temui bermacam-macam jenis pelajar. Ada pelajar cemerlang, ada pelajar malas, ada pelajar yakin untuk berjaya, ada pelajar takut mencuba dan mungkin ratusan atau ribuan jenis pelajar lagi.

Antara jenis pelajar yang sering menarik perhatian saya ialah pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih memasuki asrama penuh, kolej ternama atau pusat-pusat pengajian tinggi terpilih. Apabila kita dengar seseorang pelajar itu berjaya memasuki mana-mana pusat pengajian yang terkenal dengan kecemerlangannya, apakah tanggapan kita terhadap pelajar tersebut? Kita akan terfikir bahawa betapa hebatnya dan betapa cemerlangnya pelajar ini bukan?

Kita juga mungkin terfikir, tidak yakin dengan kebolehan diri, rasa tidak pandai dan rasa seperti orang bodoh tentu tidak pernah terlintas di fikiran pelajar-pelajar cemerlang yang terpilih ini. Namun, tanggapan itu silap sama sekali.

Kerap kali saya apabila saya bertemu dengan kumpulan pelajar terpilih dan cemerlang, majoriti daripada menghadapi masalah keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai. Mereka rasa cukup tertekan kerana mereka sukar untuk menjadi benar-benar cemerlang. Mereka rasa mereka tidak ada bakat dan kemahiran.

Apa yang membimbangkan, ada antara mereka ini kekal dengan pemikiran tersebut hingga mereka gagal mencapai potensi sebenar yang terpendam di dalam diri mereka. Jika anda sedang belajar di sekolah berasrama penuh, kolej atau universiti yang dikenali, adakah anda menghadapi masalah yang sama? Adakah anda selalu rasa rendah diri dan tidak yakin untuk menjadi lebih berjaya berbanding orang lain?

Jika jawapannya ya, jangan bimbang. Ini adalah perkara normal. Apa yang sedang berlaku ialah.

“Anda sudah terlupa yang anda juga BIJAK dan HEBAT orangnya.”

Jika anda sering bersedih kerana mengenangkan bahawa anda tidak sehebat orang lain, anda sebenarnya sedang membandingkan diri anda dengan

  • kejayaan orang lain yang belum anda kecapi.
  • kegagalan anda di masa lepas.

 

Ada pelajar di sekolah berasrama penuh yang sering merasa rendah diri kerana mereka membandingkan keputusan peperiksaan mereka dengan pelajar lain yang lebih cemerlang. Padahal, keputusan pelajar lain yang cemerlang itu bukan membuktikan yang mereka lebih hebat daripada diri kita. Mungkin mereka cuma ada lakukan sesuatu dengan cara yang betul dan lebih baik. Jadi mengapa perlu bersedih, merendah diri dan takut untuk terus mencuba?

Ada pelajar di universiti yang bersedih dan hilang keyakinan apabila melihat CGPA yang rendah. Keyakinan diri semakin parah apabila melihat pelajar lain mendapat CGPA yang lebh baik. Padahal, CGPA yang rendah cuma menunjukkan bahawa kita mungkin tidak belajar bersungguh-sungguh atau strategi belajar yang digunakan tidak berkesan. Jadi, mengapa perlu hilang keyakinan diri dan percaya yang diri kita tidak berpotensi untuk berjaya seperti orang lain juga?

Saya percaya, satu perkara yang sedang berlaku ialah kita mudah lupa yang kita ini hebat juga orangnya. Kita mudah lupa kita ini dilihat sebagai hebat oleh orang-orang lain. Kita tidak mudah sedar bahawa ketika kita rasa rendah diri melihat kehebatan orang lain, orang lain juga merasa rendah diri apabila melihat kehebatan diri kita.

Jadi, hari ini, apa kata kita ingat kembali….. apa kata hari ini kita imbas kembali…. ingat semula kejayaan dan kehebatan kita di masa lepas. Kita ingat bukan untuk diceritakan kepada orang lain… tetapi untuk memenuhkan minda kita dengan fakta dan bukti bahawa kita juga hebat dan kita juga mencapai kejayaan seperti orang lain.

Apabila minda sudah penuh dengan bukti kehebatan dan kemampuan diri, semangat dan keyakinan diri akan mula meningkat. Kita akan mula rasa bahawa kita juga layak menjadi hebat dan berjaya seperti orang lain. Kita juga mampu lakukan apa yang mampu dilakukan oleh orang-orang yang selalu membuat kita rasa kecil dan hina.

Saya ucapkan, selamat ingat semula kehebatan dan kekuatan diri kita semua. :)