Radio Asyik fm 

Jumaat lalu sekali lagi saya berada di Angkasapuri. Namun kali ini saya bukan berada di wisma tv tetapi di wisma radio. Ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke tempat ini sebenarnya. Saya berada di sini di atas jemputan Puan Azizah daripada Jakim untuk merakamkan lebih kurang 30 episod segmen motivasi pendek di dalam saluran radio Asyik.fm.

Saya dimaklumkan bahawa saluran ini adalah saluran khas untuk orang-orang asli. Jika tidak silap saya ada 4 loghat utama yang digunakan sebagai bahasa pengantar utama stesen ini. Banyak juga perkara baru yang saya pelajari di sini.

Segmen motivasi yang perlu saya rakamkan ialah segmen selama lebih kurang 2-3 minit sahaja. Namun ada 30 segmen yang perlu dirakamkan yang dicadangkan untuk disiarkan selama 30 hari. Agak kekok apabila saya masuk kebilik rakaman tersebut. Ini kali pertama saya buat rakaman sebegini jadi banyak tunjuk ajar yang diberikan oleh Puan Azizah.

Asyik FM

Disebabkan masa yang singkat dan juga saya perlu bersedia untuk menunaikan sembahyang Jumaat, rakaman tidak sempat dihabiskan. Namun ini memberi saya peluang untuk membuat lebih banyak kajian tentang apa topik-topik yang sesuai untuk saya sampaikan nanti. Terima kasih kepada Puan Azizah secara khususnya dan kepada Jakim secara umumnya kerana menjemput saya bagi menjayakan segmen ini.