Mon 21 Jan 2008
Segmen MotivasiBelajar.com di Selamat Pagi Malaysia, Ahad 8.30pagi
Posted by Osman Affan under Motivasi, Program Motivasi, Teknik Belajar
Semalam segmen motivasi belajar yang pernah saya ceritakan minggu lalu telah disiarkan di RTM1, rancangan Selamat Pagi Malaysia, pukul 8.30 pagi. Seronok juga melihat hasil usahasama saya dan pihak RTM hingga terhasilnya slot motivasi belajar ringkas yang cuma mengambil masa lebih kurang 20 minit itu.
Jika anda terlepas menontonnya, semalam saya ceritakan tentang langkah demi langkah yang perlu diambil jika kita mahu menjadi pelajar cemerlang tidak kira sama ada kita berada di sekolah, kolej atau universiti. Ada 5 langkah yang saya kongsikan.
Langkah pertama - Tulis gred yang hendak dicapai. Jika kita mahu jadi pelajar cemerlang, kita mesti tahu dengan jelas gred apa yang kita mahu dapat dalam peperiksaan sebenar nanti. Jika kita tidak tahu atau tidak pasti, hasilnya pasti mengecewakan kita nanti.
Langkah kedua - Kaji kelemahan. Setelah kita tahu gred apa yang kita mahu, kita perlu tahu di manakah kedudukan kita sekarang. Jika kita mahu dapat gred A dalam subjek Sains, kaji semula, apakah gred yang biasa kita dapat sekarang. Mungkin kita biasa dapat gred C. Apabila kedudukan sekarang jelas, kita boleh anggarkan berapa banyak usaha yang perlu diletakkan dalam proses mencapai gred A tersebut. Kaji kelemahan juga dapat memberitahu kita subjek mana yang perlu diberi perhatian lebih.
Langkah ketiga - Senaraikan aktiviti. Selalunya pelajar ada azam dan azam itu akan pudar dan hilang sepenuhnya dalam masa 4 ke 8 minggu. Untuk mengelakkan ini terjadi, jangan hanya fikirkan azam, tapi fikirkan dengan jelas apakah aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan untuk mendapat gred idaman. Contoh aktiviti ialah ‘buat latihan Add Maths 20 soalan sehari, setiap hari’, atau ‘jumpa cikgu Sains setiap minggu untuk terangkan bab susah’ atau ‘buat nota bab 1 hingga 4 dalam masa 2 minggu’.
Langkah keempat - Belajar teknik belajar. Teknik belajar adalah kenderaan kita untuk sampai ke sesuatu destinasi. Kalau guna kenderaan berbanding berjalan kaki, kita akan sampai lebih cepat dan kurang meletihkan. Cari peluang untuk belajar teknik belajar seperti teknik menghafal, teknik menulis nota, teknik pengurusan masa dan teknik fokus di dalam kelas. Ini semua boleh dipelajari melalui buku, seminar atau kursus motivasi dan teknik belajar yang dianjurkan berhampiran tempat kita.
Langkah kelima - Dapatkan sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Pastikan kita minta sokongan orang-orang ini. Berkat doa dan restu ibu bapa dan guru akan menenangkan hati kita dan memudahkan kita untuk mempelajari dan menguasai sesuatu. Hormati ibu bapa dan guru. Pikat hati mereka. (Baca tips dan petua memikat hati guru dan kawan-kawan di ruangan kompilasi tips dan petua).
Selamat merancang kejayaan untuk tahun 2008 ini. Jika ada masa, jangan lupa tonton segmen motivasi belajar di RTM1 minggu depan (masa yang sama, 8.30 pagi). Minggu depan saya bincangkan tentang konsep halangan minda (mental block) dan bagaimana cara untuk menghapuskannya. ![]()























