osman affanKetika saya bekerja di PriceWaterHouseCoopers, saya selalu habiskan waktu lapang saya di MPH bookstore di Midvalley megamall. Kadang-kadang saya berada disana dari pagi hingga ke petang. Seronok baca buku kegemaran saya terutama tentang psikologi dan potensi manusia. Semakin banyak saya membaca, saya sedar satu perkara. Saya mula sedar kenapa saya selalu rasa ada konflik dalam diri saya setiap kali saya lakukan kerja saya sebagai Audit Associate di syarikat tadi.

Saya mula sedar rupa-rupanya minat saya sangat bercanggah dengan pekerjaan tersebut. Sebab itulah saya rasa agak tertekan walaupun saya boleh lakukan kerja tersebut. Apa yang saya rasa satu ancaman buat saya ketika itu ialah, jika saya kekal bekerja di sana, bakat dan kebolehan sebenar saya tidak akan menyerlah. Saya mungkin akan hanya jadi pekerja sederhana. Saya tidak suka hakikat ini.

Jadi pada pertengahan tahun 2002, dengan tangan yang menggeletar, saya taip surat perletakan jawatan saya. Keputusan saya ini mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan orang-orang yang mengenali saya. Mungkin saya ni degil, saya tetap dengan pendirian saya. Jadi, saya berhenti kerja, balik ke Terengganu dan mula berniaga.

Macam-macam benda saya buat ketika itu termasuklah menjadi guru sandaran ( di dua buah sekolah di Terengganu dan guru tuisyen. Di situlah bermulanya kerjaya saya dalam motivasi dan kemahiran belajar ini……

Apa yang sebenarnya yang ingin saya ceritakan ialah, anda tidak akan dapat menjangka apa yang akan berlaku di masa hadapan. Keadaan akan jadi lebih mencabar jika anda tidak bersedia dengan kemahiran yang diperlukan. Saya percaya cabaran yang saya hadapi sebelum ini adalah kerana saya tidak cukup bersedia sewaktu zaman saya sebagai pelajar. Walaupun saya telah sertai persatuan, aktiviti kelab, sukan dan sebagainya, ia masih tidak mencukupi kerana saya tidak tahu apa yang akan saya hadapi selepas tamat belajar.

Jadi, dalam beberapa minggu ini, saya akan kongsikan bersama anda beberapa perkara yang perlu anda sediakan sebelum anda memasuki dunia selepas belajar ini. Saya akan cuba dapatkan beberapa pertolongan juga daripada sahabat-sahabat saya yang lain terutamanya pelatih-pelatih pakar dalam bidang ’soft skills’. Semoga perkongsian ini semua akan memberi manfaat kepada anda dan juga kepada pengetahuan saya sendiri. :)