temudugaSaya telah terangkan minggu lepas tentang situasi semasa anda mahu bersaing di temuduga dengan graduan atau pelajar-pelajar lain diseluruh Malaysia. Saya ada terangkan bahawa rekod anda akan dilhat. Jadi, jika anda mempunyai rekod yang baik terutama dalam bidang akademik dan kurikulum, anda mempunyai daya saing yang kuat.

Namun, satu perkara lagi yang anda perlu tahu, bakal majikan bukan hanya melihat rekod anda anda. Rekod anda hanyalah satu gambaran tentang anda di masa lepas. Mereka mahu melihat sejauh mana anda boleh membawa diri di dalam suasana pekerjaan terutamanya di dalam suasan pekerjaan di syarikat mereka.

Ada 3 perkara utama yang majikan selalu cari di dalam temuduga:

  1. Kebolehan berkomunikasi. Kebolehan ini bukan bermaksud anda petah bercakap atau banyak bercakap semasa ditemuduga. Ia bermaksud, anda boleh menyampaikan buah fikiran anda dengan jelas dan teratur. Contohnya, jika penemuduga meminta pendapat anda, adakah anda boleh beri pendapat dengan ayat yang mudah difahami. Walaupun ini bunyinya mudah, dalam temuduga, ia boleh jadi sangat sukar terutamanya jika anda kurang mahir berkomunikasi.
  2. Kebolehan berfikir. Syarikat mahukan pekerja yang boleh berfikir. Maksudnya, syarikat mahu pekerja yang boleh berdikari dalam menjalankan tugas dan tidak perlu selalu disuruh melakukan sesuatu. JIka anda tidak mempunyai kebolehan berfikir, syarikat terpaksa bekerja keras melatih dan mengajar anda untuk membuat kerja. Ia akan jadi seperti paku dengan pengetuk. Sekali ketuk, sekali bergerak. Kalau tidak diketuk, langsung tidakkan bergerak… :)
  3. Kebolehan menyelesaikan masalah. Syarikat mengambil pekerja kerana mereka mahu menyelesaikan masalah. Contohnya, jika tetamu datang, syarikat perlu seseorang untuk melayan mereka. Jika tetamu tidak dilayan, syarikat mungkin akan kehilangan pelanggan. Itu satu masalah. Jadi syarikat akan mengambil pekerja sebagai penyambut tetamu. Tetapi jika anda datang semasa temuduga dengan pakaian selekah dan tidak teratur, bolehkah anda bekerja sabagi pelayan tetamu? Ini hanyalah contoh mudah untuk anda fikirkan. Saya tahu anda tidak mahu bekerja sebagai penyambut tetamu. Tetapi fikirkan, bolehkah anda menyelesaikan masalah?

Kita sambung lagi esok.