temudugaSemasa saya di zaman persekolahan dan universiti dahulu, saya tidak pernah fikirkan tentang persaingan selepas tamat belajar. Saya fikir selepas belajar, semua graduan dijamin pekerjaan mereka. Mereka akan hidup senang kerana sudah tamat belajar kerana ramai pelajar yang tidak berjaya menamatkan pelajaran mereka.

Ternyata saya silap. Persaingan selepas tamat belajar sangatlah tinggi. Kadangkala, saya rasa tidak ada bezanya saya belajar di luar negara berbanding dengan pelajar yang belajar di dalam negara. Mereka semua sama kompetitif dan berdaya saing.

Apa yang membantu saya dalam bersaing ialah aktiviti-aktiviti yang saya lakukan di zaman saya belajar dulu. Saya dulu aktif dalam persatuan dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat universiti. Ia membantu teknik saya berkomunikasi terutama tentang teknik berkomunikasi dengan orang yang lebih tua, berpangkat atau berkedudukan. Semua itu agak berbeza.

Daripada aktiviti saya juga, saya sedar bahawa banyak masalah akan timbul semasa melakukan kerja. Saya kerap kali dibebani masalah semasa saya bekerja di dalam persatuan. Masalah ini semua membuat saya sedikit matang dalam menjawab soalan-soalan berkenaan penyelesaian masalah.

Jadi, mesej saya kepada anda ialah, jika anda masih belajar, tingkatkan kemampuan anda bersaing dengan menyertai persatuan atau kelab di sekolah, kolej, universiti atau di mana sahaja. Tujuan anda sertai persatuan itu bukanlah untuk mendapat makan percuma pada jamuan akhir tahun :) tetapi untuk belajar dan mendapat pengalaman bekerja. Tawarkan diri anda untuk melakukan kerja-kerja yang boleh membantu meningkatkan kemahiran berkomunikasi anda seperti membentangkan kertas cadangan program kepada guru, bermesyuarat dengan jawatankuasa sekolah atau universiti atau memberi ucapan dan menjadi pengacara di majlis-majlis rasmi. Aktiviti ini semua pasti akan membantu anda.