Mon 28 Jul 2008
Strategi Pembelajaran Cemerlang bersama Pelajar UPM
Posted by Osman Affan under Motivasi, Program Motivasi, Soft Skills

Selepas selesai program bersama UDM di Terengganu, saya bergegas ke KL semula untuk menjayakan program bersama mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia. Program ini bertajuk ‘Strategi Pembelajaran Cemerlang’. Sangat menarik dan cantik banner yang digunakan untuk program ini.
Program kali ini saya diminta menekankan tentang kepentingan menetapkan matlamat untuk pelajar. Saya kongsikan bersama pelajar beberapa langkah dalam menetapkan matlamat dan bagaimana mahu menaikkan semangat belajar dengan menulis matlamat yang benar-benar bertenaga dan hebat. Matlamat yang hebat selalunya adalah sesuatu yang agak mendebarkan untuk dicapai kerana kita ada rasa bimbang jika ia hanya menjadi angan-angan kosong. Namun ia mesti mampu membuat kita rasa bersemangat setiap kali kita membayangkan saat di mana ia tercapai.
Dalam masa yang sama, saya kongsikan tips ringkas bagaimana pelajar boleh menggunakan teknik belajar yang berkesan dalam menghafal apa yang mereka pelajari. Pesan saya kepada pelajar ialah tidak perlu menghafal semua yang mereka baca. Sebaliknya, cuma hafal kata kunci atau isi penting dan berlatih untuk mengembangkan idea daripada kata kunci tersebut.
Saya juga sempat berkongsi tips ringkas dalam pengurusan masa. Bagi saya, untuk pelajar di peringkat universiti, yang berjaya dan gagal selalunya ditentukan oleh kebolehan mereka membahagikan masa yang mengisi masa mereka dengan perkara yang membawa mereka ke arah matlamat mereka. Ada satu pesan saya yang paling penting di sini, “Jika pelajar mahu berjaya suatu hari nanti, berlatih untuk bangun tidur tepat pada waktu yang telah mereka sendiri tetapkan.” Maksud saya, jika mereka kata mahu bangun pukul 6.30 pagi dan bunyikan jam loceng, disiplinkan diri untuk benar-benar bangun pada waktu tersebut.
Jika mereka perlu bangun awal untuk pergi ke kelas, pastikan mereka benar-benar bangun tidak kira pukul berapa pun mereka tidur pada malam sebelumnya. Jika pelajar gagal amalkan ini, tahap disiplin diri mereka akan menurun dan mereka akan rasa tidak mampu menjamin kejayaan mereka dalam bidang akademik.
Terima kasih saya ucapkan kepada unit kaunseling UPM terutamanya Encik Zaliazam dan pihak urusetia program yang memberi layanan yang sangat baik dan istimewa kepada saya dan krew sepanjang program dijalankan. Semoga program ini dapat mencetuskan sedikit api di dalam diri pelajar untuk terus berusaha dan maju.




Untuk membacanya 


Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













