Semalam saya ada terangkan beberapa langkah untuk menguruskan masa dengan berkesan. Hari ini, saya akan terangkan bagaimana anda boleh menggunakan kefahaman tentang fisiologi untuk menguruskan masa dengan baik. 

Fisiologi secara ringkasnya adalah kajian mengenai tubuh badan manusia dan bagaimana ia boleh mempengaruhi apa yang kita fikirkan. Contohnya, cuba anda jawab soalan ini: 

“Kita tersenyum kerana kita gembira, atau kita gembira kerana kita sedang senyum? 

Saya percaya ramai anda akan jawab kita senyum kerana kita gembira bukan? Namun dalam kajian fisiologi, satu perkara anda boleh faham, kita boleh rasa gembira apabila kita mula senyum. Maksudnya begini, cuba anda senyum selebar mungkin. Senyum sampai senyuman anda itu boleh mencecah telinga. Apabila anda senyum begini, apa yang anda rasakan? Tentu ada rasa sedikit gembira bukan? 

Cuba anda tundukkan kepala dan buat muka seperti orang sedang bersedih. Apa yang anda rasakan? Tentu rasa seperti orang yang sedang benar-benar bersedih bukan? 

Apa yang dapat anda faham di sini ialah, pergerakan tubuh badan kita boleh mempengaruhi apa yang kita rasakan. Jika anda tidak percaya lagi, cuba anda berjalan seperti orang yang sangat malas. Jalan dengan kaki yang berat dan muka yang lemah seperti orang yang betul-betul sedang malas. Semasa berjalan dengan malas begitu, cuba pergi ambil buku dan baca buku itu. Baca buku itu pun dengan rupa orang malas. Apa yang anda rasakan? Ya, saya percaya anda akan rasa seperti orang malas. 

Sekarang, mari kita tukar. Cuba senyum, tegakkan tubuh anda dan mula berjalan seperti seorang pelajar yang rajin dan bijak. Jalan dengan bersemangat dan wajah yang ceria. Ambil buku tadi dan cuba baca. Baca buku itu seperti seorang yang sedang bersemangat, rajin dan bijak. Apa yang adik rasa? Ya, sama seperti cubaan pertama tadi, kini anda pasti merasa rajin dan bersemangat. 

Apa yang saya mahu anda faham ialah, jika anda rasa malas dan mengantuk semasa belajar, ada kemungkinan ia kerana anda suka duduk dan belajar seperti orang yang malas. Anda mungkin suka membuat muka seperti orang mengantuk dan malas tanpa anda sedari. 

Apa yang perlu dilakukan? Mulai hari ini, saya mahu anda perhatikan cara anda melakukan sesuatu. Perhatikan cara anda belajar di dalam kelas. Adakah anda belajar dalam kedudukan orang yang malas atau rajin, bijak atau tidak? Jika anda sedar bahawa anda tidak duduk, berjalan dan membaca dengan cara yang betul, mula ubahnya dari sekarang. 

Satu perkara lagi yang anda boleh lakukan, mula lihat dan perhatikan pelajar-pelajar yang rajin dan pandai di kelas atau di sekolah anda. Perhatikan gerak geri mereka semasa belajar. Adakah mereka kelihatan seronok dan bersemangat ketika belajar? Saya percaya mereka memang seronok dan bersemangat ketika belajar. Jadi, tiru apa yang mereka lakukan. Tiru gaya pergerakan mereka dan anda juga akan merasa bijak dan bersemangat seperti mereka. 

Perkara ini perlu dilatih sebenarnya. Jika adik lakukan perkara ini, pada mulanya anda mungkin rasa sedikit janggal kerana anda tidak biasa melakukannya. Tetapi setelah anda biasa melakukannya, anda akan rasa selesa dan boleh belajar dengan rasa bijak dan rajin. Ia sama seperti belajar menunggang basikal. Pada mulanya, anda perlu mengayuh dengan berhati-hati dan perlahan-lahan. Tetapi setelah cekap, anda boleh mengayuhnya tanpa berfikir mengenainya langsung. 

Selamat mencuba. :)