Thu 5 Nov 2009
(Saya kurang pasti apakah masalahnya video Youtube di atas tidak muncul di sini. Jika anda ingin menontonnya, anda boleh klik di sini dan klik pada video Youtube yang dipaparkan. Terima kasih. http://www.motivasibelajar.com/motivasi/you-tube.html)
Pada 25 Oktober yang lalu, saya telah memecahkan rekod peribadi berdiri dihadapan lebih 3000 orang pelajar SPM negeri Selangor. Ini adalah sumbangan saya dalam menjayakan slot Minda Segar untuk peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor yang terdiri daripada pelajar SPM yang terpilih di seluruh negeri Selangor.

Program ini amat istimewa buat saya kerana dua perkara utama. Pertama, ini adalah kumpulan terbesar yang pernah saya kendalikan setakat ini. Sebelum ini kumpulan paling besar saya kendalikan ialah pelajar seramai 2200 orang di Wisma Darul Iman Terengganu pada Februari 2009.
Jadi ini merupakan satu cabaran baru yang agak besar buat saya kerana agak mencabar untuk menarik perhatian dan fokus pelajar seramai ini. Tambahan pula kehadiran pelajar adalah diluar jangkaan di mana kerusi yang disediakan kurang mencukupi pada awalnya. Ini menyebabkan beberapa ratus orang pelajar terpaksa bermula dengan bersila di atas lantai. Namun saya percaya program tetap berjalan lancar dan tidak ada masalah berkaitan isu tidak cukup kerusi buat sementara ini.

Sesi Minda Segar yang saya kendalikan ini adalah berkaitan bagaimana untuk mengawal tekanan perasaan menjelang peperiksaan. Saya tekankan kepada pelajar bahawa menjelang peperiksaan, adalah amat penting mereka mempunyai hati yang tenang dan ceria. Apabila hati tenang, peluang untuk ingat apa yang telah dipelajari adalah jauh lebih besar.
Kedua, program ini adalah untuk pelajar di seluruh Selangor. Ia istimewa buat saya kerana saya juga belajar di sekolah di Selangor semasa mengambil peperiksaan SPM walaupun saya dibesarkan di Kuala Terengganu. Sekolah saya di Klang, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) adalah satu tempat yang banyak memberikan kenangan manis dan detik perubahan dalam hidup saya.
Anda boleh melihat sedikit rakaman semasa program ini dijalankan. Walaupun visualnya agak kurang jelas disebabkan lampu yang berada di belakang pentas, audionya sangat jelas dan boleh difahami.

Kepada semua pelajar yang menyertai program ini saya ucapkan selamat bersedia dalam saat akhir menjelang peperiksaan SPM dan selamat berjaya mencapai apa sahaja matlamat yang telah ditetapkan untuk peperiksaan SPM 2009 ini. Selamat berjaya.
p/s Ada masalah teknikal dalam gambar yang diambil oleh sahabat saya sepanjang program di mana semuanya rosak. Jika anda berasa di program ini dan ada mengambil gambar, sudilah kiranya kirimkan kepada saya agar dapat saya paparkan di blog ini. Mohon kirimkan kepada saya di info@motivasibelajar.com. Terima kasih.























