ATMA UKMSabtu lalu saya berpeluang mengendalikan satu slot yang bertajuk ‘Emotional Intelligence Management’ kepada para pensyarah dan kakitangan pentadbiran Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Slot ini disertakan ke dalam Bengkel peningkatan produktiviti dan Hari keluarga ATMA ke-8 yang dijalankan di Port Dickson.

Kenapa saya berikan tajuk seperti di atas ya untuk posting ini?

Hmm… macam ni.

Professor Dr Ding Choo MingSetelah saya kongsikan serba sedikit pengetahuan saya mengenai Emotional Intelligence kepada para peserta program tersebut, hati saya merasa sangat tenang dan selesa dengan maklum balas yang saya terima daripada mereka. Peserta ini semua kelihatan ceria, sangat berminat untuk belajar, bersungguh-sungguh ingin tahu dan banyak memberi soalan ikhlas untuk menambahkan pengetahuan mereka.

Setelah selesai program, barulah saya tahu rupa-rupanya peserta saya ini semua kebanyakan berpangkat Professor dan Dr. Malah ada yang berpangkat Dato’ dan Datin. Ada yang sudah bergelar pensyarah dan menyertai UKM sewaktu saya belum lahir lagi!

Ini membuktikan satu perkara kepada saya. Orang yang benar-benar berilmu sangat merendah diri semasa mempelajari sesuatu. Sebab itulah mereka mudah untuk menguasai sesuatu ilmu. Walaupun peserta saya ini semua mempunyai ilmu yang jauh lebih tinggi daripada saya, mereka tetap berminat dan bersungguh-sungguh mempelajari ilmu yang saya kongsikan bersama mereka.

Professor Dr Che Husna AzhariAlangkah hebatnya kalau kita semua mempunyai sifat dan sikap yang sama. Jika cara ini diamalkan oleh kita semua, proses menimba ilmu pasti menjadi sesuatu yang sangat mudah. Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu, ikut resmi padi, semakin tunduk apabila semakin berisi.

Saya benar-benar kagum dengan mereka!

Pengalaman ini memberi kita beberapa pengajaran. Insyaallah sehari dua ini saya akan kongsikan dengan anda bagaimanakah sifat dan sikap para peserta saya in dapat membantu kita semua mempelajari sesuatu dengan cepat.

p/s Terima kasih kepada semua peserta yang mengikuti sesi saya pada Sabtu lepas. Saya rasa sangat bertuah kerana dapat turut serta dalam majlis tersebut terutama sekali acara hebat pada waktu makan malam. :)