Hari ini saya membaca semula beberapa email dan soalan yang pernah saya terima melalui email dan juga blog. Satu soalan ini menarik perhatian saya. Soalan ini datangnya daripada seorang mahasiswa daripada universiti tempatan. Beliau menulis soalan ini di dalam posting saya pada awal tahun lalu tetapi saya tidak sempat membalasnya. Ini soalannya.

“saya ipta student. awal semester lalu sya tulis grade dan lekatkan kertas itu di hadapn meja sya stdy dengan harapan sya sentiasa berusaha.masalah sya skrg ialah rakan-sebilik masih tak memahami saya. sering kali bersembang dan bising dalam bilik. saya stdy dalam geram dan hasilnya keputusan sya tak capai sasaran.harap tuan dapat beri nasihat kepada saya untuk masalh seperti ini..”

Osman AffanJawapan saya: Pertama sekali, benarkan saya bahasakan diri Tuan, ‘F’. Tahniah kerana F sudah tulis matlamat dan selalu melihatnya. Saya percaya orang yang menulis matlamatnya akan sentiasa mencapai apa sahaja yang diinginkan. Namun ada satu perkara yang perlu saya terangkan di sini.

“Apabila kita mahu mencapai sesuatu, tidak semestinya orang lain mahu mencapai perkara yang sama. Jika orang lain tidak mahu mencapai perkara yang sama, jangan jadikan mereka sebagai alasan mengapa kita tidak boleh dapat apa yang kita mahukan.”

Setiap orang ada masalah mereka yang tersendiri. Dalam masalah itu pula, ada masalah yang boleh dikawal dan ada masalah yang tidak boleh dikawal. Orang-orang yang berjaya hanya mengambil tahu tentang masalah yang boleh mereka kawal. Sebagai contoh, masalah malas bangun pagi, kita boleh mengawalnya sendiri dengan tidur lebih awal dan cari sebab mengapa perlu bangun pagi. Masalah tidak faham apa yang dipelajari, kita boleh mengawalnya dengan belajar lebih mendalam atau bertanya kepada orang yang lebih tahu.

Namun, orang-orang berjaya tidak terlalu peduli dengan masalah yang tidak boleh mereka kawal kerana kalau mereka peduli bagaimana sekalipun, masalah itu tetap ada. Peduli –> ada, tidak peduli–> ada, jadi lebih baik tidak peduli kerana sekurang-kurangnya hati mereka tidak sakit dan semangat mereka tidak luntur.

Cabaran F ialah terlalu mempedulikan masalah yang tidak boleh dikawal. Kawan bersembang dan bising dalam bilik adalah masalah yang tidak boleh dikawal. Ini kerana itu juga bilik mereka dan apa juga matlamat mereka bukanlah satu isu kepada kita. Apa yang boleh dikawal ialah mungkin

  1. Berbincang dengan kawan agar tidak terlalu bising. Jika berbincang tidak berkesan, cari alternatif lain.
  2. Belajar di tempat lain seperti perpustakaan atau mana-mana tempat sesuai.
  3. Cari jalan agar tidak terganggu oleh kebisingan kawan seperti memasang Mp3 player sambil mendengar lagu perlahan dan menenangkan.

Apa yang penting, jangan harapkan kawan-kawan berubah. Kita yang perlu mengubah sesuatu. Saya dapat bayangkan belajar dalam keadaan geram dan marah. Apa yang menyedihkan, semasa kita sedang marah dan geram, kawan-kawan yang bising itu semua sedang seronok dan gembira berborak. Malah kalau mereka belajar ketika itu, mungkin mereka akan mendapat keputusan yang lebih baik kerana mereka sedang belajar dalam keadaan yang seronok dan gembira.

Harapan saya, F teruskan dengan menulis matlamat. Apa kata mulai hari ini F selesaikan masalah yang boleh dikawal dan lupakan apa yang tidak boleh dikawal. Saya percaya, F akan mendapat hasil yang sangat berbeza. Selamat berjaya!

p/s Jika ada kesempatan, baca 3 posting yang saya tulis untuk pelajar universiti di sini http://www.motivasibelajar.com/index.php?s=salahkan+hujan