Mon 16 Oct 2006
Zon Selesa – Pengalaman Saya
Posted by Osman Affan under Persediaan Minda
No Comments
Beberapa hari lepas saya pulang ke Terengganu ke rumah ibu bapa saya. Ketika menunggu untuk berbuka puasa, saya tunjukkan kepada ibu dan bapa saya satu video yang di ambil semasa program saya bersama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu. Dalam video itu, saya sedang bercakap di hadapan lebih 200 pelajar mengenai teknik pemasaran melalui internet.

Setelah ayah saya melihat video itu, beliau berkata kepada ibu saya, “Tak sangka ye Man boleh bercakap depan orang ramai macam ni……” Balas ibu saya, ” Tu la, kalau tengok perangai masa kecik dulu yang pemalu sangat, tak sangka pulak boleh jadi macam ni sekarang….”
“Pemalu?” Soal saya buat2 lupa….”pemalu macam mana?” Balas ibu saya, “Ye la, asyik terperap je dalam bilik kalau ada orang datang. Kalau nak jumpa orang baru kenal, punya la susah nak bercakap, banyak duduk diam je….”

Perkara ini membuat saya teringat semula zaman saya semasa kecil dulu. Memang pemalu sikit, tapi takde la pemalu sangat. Cuma satu perkara saya paling ingat masa saya berda di tingkatan 5. Apa yang saya ingat, saya menggeletar kaki dan tangan bila kena bagi ucapan depan kelas saya. Padahal, cuma ada lebih kurang 18 orang sahaja dalam kelas saya tu.
Bagaimana saya boleh berubah daripada menggeletar begitu kepada keadaan sekarang ini? Jawapannya saya pasti terletak pada kisah zon selesa yang saya ceritakan dalam beberapa hari ini. Seperti orang lain, saya juga tidak selesa semasa saya mula-mula hendak keluar dari zon selesa saya. Saya rasa takut dan gementar.

Tetapi, setelah saya teruskan juga dengan usaha dan dengan beberapa teknik yang berkesan, saya berjaya atasi rasa tidak selesa dengan mencipta beberapa lagi kawasan kuning di sekeliling saya. Kini, setiap kali saya perlu memberi ucapan di khalayak ramai, saya rasa selesa dan tenang.
Jadi, setiap kali anda melakukan sesuatu yang baru demi kebaikan dan pembangunan diri anda, jangan risau jika anda rasa kekok dan tidak selesa. Keadaan itu akan berlalu. Apabila ia sudah berlalu, anda akan jadi seseorang yang lebih maju dan hebat daripada sebelum ini. Selamat Keluar daripada Zon Selesa.






















