Sat 14 Oct 2006
Zon Selesa
Posted by Osman Affan under Persediaan Minda
Zon selesa bermaksud satu keadaan yang menyelesakan buat anda. Contohnya, jika anda biasa duduk di bahagian hadapan kelas, anda akan merasa selesa duduk di depan. Tetapi bagi pelajar lain yang biasa duduk di belakang, mereka akan rasa tidak selesa jika disuruh duduk di depan.
Jika anda tidak pernah berucap di khalayak ramai, anda akan rasa tidak selesa malah gementar apabila disuruh berucap di hadapan 500 orang penonton. Namun, jika anda sudah biasa berucap begitu, anda rasa biasa sahaja, selesa dan agak tenang. Ini adalah konsep zon selesa. Anda akan rasa selesa membuat sesuatu yang sudah biasa anda lakukan.
Ada dua penjelasan yang mahu saya buat mengenai zon selesa ini. Pertama, jika anda sudah terlalu selesa dengan apa yang anda lakukan selama ini, anda akan rasa berat untuk berubah. Contohnya, jika anda sudah selesa membuat kerja rumah disaat akhir, belajar di saat akhir dan malas mengulangkaji, anda akan rasa sangat berat dan tidak selesa untuk berubah. Akibatnya, anda akan kekal selama-lamanya dalam zon anda itu. Jika anda biasa gagal atau tidak cemerlang dalam zon anda itu, anda akan kekal begitu juga.
Jika anda sudah selesa mendiamkan diri dalam kelas dan tidak mahu bersuara atau bertanya, anda akan kekal juga begitu hingga suatu hari nanti anda buat keputusan untuk berubah. Anda perlu ingat, tanpa perubahan, adalah sukar untuk anda maju ke hadapan.
Kedua, jika anda rasa terlalu selesa di dalam zon anda, anda akan takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Anda tidak biasa berucap, anda akan menolak semua tawaran atau peluang untuk berucap kerana ia tidak menyelesakan. Akibatnya, anda rugi kerana berucap adalah satu peluang untuk mengasah teknik berkomunikasi.
Anda tidak biasa membaca buku, lalu anda elakkan diri dari membaca mana-mana buku kerana ia tidak menyelesakan. Akibatnya, anda sangat RUGI kerana membaca adalah sebenar-benarnya jambatan ilmu.
Anda tidak biasa mengulangkaji awal, anda akan tunda semua aktiviti mengulangkaji ke saat akhir kerana mengulangkaji awal tidak menyelesakan. Akibatnya, keputusan peperiksaan anda juga kekal seperti apa yang anda perolehi selama ini. Rugi bukan?
Kita sambung lagi esok berkenaan Zon Selesa…..









Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik
Untuk maklumat lanjut, klik 













