Wed 7 Oct 2009
Bersama pelajar PMR & SPM di Banting
Posted by Osman Affan under Program Motivasi
1 Comment
Pada Sabtu lalu, saya sekali lagi ke dewan besar Institut Latihan Perindustrian Banting bagi menjayakan program ‘Tenang Menjawab Soalan Peperiksaan’ untuk pelajar peringkat PMR dan SPM. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Hampir 400 orang pelajar yang turut sama menjayakan program ini.

Untuk program kali ini, saya bekerjasama dengan sahabat saya, Tuan Fitri Shukri yang sudah tidak asing lagi dalam menjalankan program-program teknik belajar. Tuan Fitri telah menjayakan sesi ini pada waktu pagi dan membincangkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil menjelang peperiksaan yang sudah begitu hampir ini. Saya pula menjayakan sesi ini pada waktu petang dan membincangkan aspek-aspek psikologi semasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan.

Bagi saya, program ini sangat meriah dan menceriakan. Pelajar yang hadir semuanya kelihatan ceria dan bersemangat. Ramai juga pelajar yang memanggil-manggil saya sebaik sahaja saya masuk ke dewan kerana mereka telah berjumpa saya dalam program SmartStudy pada awal tahun dahulu.

Satu teknik yang saya kongsikan di dalam program ini ialah bagaimana cara untuk berdoa agar pelajar merasa lebih tenang dan yakin untuk menghadapi peperiksaan. Teknik ini bukan sahaja boleh diamalkan semasa menjelang peperiksaan malah ia boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.

Satu lagi teknik yang saya kongsikan ialah teknik untuk berkomunikasi. Teknik ini boleh digunakan sepanjang tahun namun ia sangat berguna menjelang peperiksaan ini. Ia kerana pelajar perlu banyak mendapat pertolongan dan sokongan daripada kawan-kawan, guru dan ibu bapa. Jadi teknik berkomunikasi berkesan boleh membantu mereka untuk tujuan. Saya dapat rasakan betapa peserta di sini sangat sukakan topik teknik komunikasi ini berdasarkan maklumbalas dan reaksi yang mereka tunjukkan sepanjang sesi ini.

Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua pelajar yang hadir dalam program ini. Saya doakan agar semua kejayaan yang diidamkan akan berada di dalam genggaman. Saya doakan juga agar semua peserta berjaya mengharungi cabaran sepanjang bersedia untuk menghadapi peperiksaan ini. Selamat berjaya.
Terima kasih diucapkan kepada En Hamdan Bin Sapar yang berjaya menganjurkan program ini. Terima kasih khas untuk sahabat saya, Tuan Fitri Shukri. Beliau bukan sahaja menjayakan program, malah memberikan khidmat beliau dalam memberikan gambar-gambar yang berkualiti ini. Apabila saya lihat gambar-gambar yang beliau ambil ini, barulah saya tahu bezanya antara:
- cara orang professional mengambil gambar berbanding tidak professional,
- beza mengambil gambar dengan kamera biasa berbanding mengambil gambar dengan kamera professional beliau, Canon EOS 50D (15 Megapixels, High ISO until 12800).
Terima kasih Tuan Fitri.






















October 13th, 2009 at 3:36 pm
Terima kasih Encik Osman atas jemputan untuk mengendalikan seminar di ILP Banting. Suasana program pun amat baik ditambah dengan kelicinan penganjur, iaitu En Hamdan dan kakitangan beliau.
Harap kerjasama sebegini dapat kita teruskan lagi demi kecemerlangan pendidikan di negara kita ini.
ps. Mahu tips fotografi?