Sun 20 Dec 2009
Ceramah ‘Menuju Kecemerlangan Berterusan’ di Felda Bilut Pahang
Posted by Osman Affan under Program Motivasi
[2] Comments
Khamis lalu (17 Disember 2009) saya berada di Felda Bilut bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Menuju Kecemerlangan Berterusan’ kepada lebih kurang 140 pelajar yang berjaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR 2009. Program ini turut dihadiri ibu bapa pelajar-pelajar yang kelihatan begitu gembira dengan kejayaan anak-anak masing. Sudah tentulah. Siapa yang tidak rasa bangga atau gembira jika anak sendiri berjaya mendapat keputusan cemerlang. Ketika adik saya sendiri mendapat 5A dalam UPSR 3 tahun lalu, saya sendiri turut rasa gembira yang teramat sangat.
Di dalam ceramah ini, saya kongsikan beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelajar dan ibu bapa untuk memastikan kecemerlangan berterusan. Satu perkara yang saya ingatkan kepada pelajar dan ibu bapa ialah tentang usaha untuk merapatkan hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak.
Menurut pemerhatian saya, anak-anak cemerlang selalunya akan berpeluang bersekolah di sekolah yang baik dan selalunya ini adalah sekolah berasrama penuh. Dalam usia 13-15 tahun, anak-anak ini sedang mencari identiti mereka tersendiri. Mereka akan cari kawan-kawan mana yang sesuai dengan identiti yang mereka suka. Hasilnya, hubungan mereka akan jadi sangat rapat dengan kawan-kawan yang mereka katakan ‘satu kepala’ ini.
Apa yang berlaku selepas itu ialah ibu bapa akan mula sedar yang anak-anak ini seolah-olah lebih suka meluangkan masa dengan kawan-kawan mereka berbanding dengan keluarga sendiri. Jika musim cuti sekolah dan waktu pulang daripada asrama, anak-anak ini akan mencari peluang untuk menziarahi kawan-kawan mereka dan mungkin tidur di rumah mereka. Malah, ada ketikanya mereka memilih untuk melakukan aktiviti bersama kawan-kawan di masa cuti sekolah berbanding meluangkan masa melakukan sebarang aktiviti dengan keluarga sendiri.
Jika ini tidak dikawal, ibu bapa akan rasa hubungan dengan anak-anak ini semakin renggang dan kurang mesra seperti dulu. Apa yang saya sarankan kepada pelajar dan ibu bapa ialah mereka patut sedar sekarang ini mungkin berlaku suatu masa nanti. Jadi mereka perlu merancang dan bersetuju untuk meluangkan masa melakukan aktiviti bersama keluarga. Keluarga perlu diutamakan. Saya percaya, jika hubungan ibu bapa dan anak-anak rapat, kecemerlangan di masa akan datang akan jadi lebih mudah diperolehi.

Di kesempatan menjalankan program ini, saya turut berpeluang mempromosikan buku-buku saya dalam siri ‘Menjadi Remaja SmartStudy’. Saya percaya buku-buku ini mempunyai beberapa tips dan panduan penting untuk pelajar mencapai kecemerlangan berterusan. Alhamdulillah, sambutan terhadap buku ini sangat baik hingga saya jadi agak sibuk untuk menandatangani buku-buku yang telah dibeli.

Sedang sibuk-sibuk menandatangani buku-buku yang telah dibeli, saya terpandang 3 orang urusetia yang sedang sibuk membaca buku. Saya tersenyum melihat mereka sedang membaca ketiga-tiga buku saya dan kelihatan begitu khusyuk mendalami isi kandungan buku-buku tersebut. Sempat juga saya minta bantuan staf saya untuk mengambil gambar mereka. Tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana jarang saya lihat orang dewasa yang berminat membaca buku tentang pelajar.

Ceramah ini adalah program terakhir sesi jelajah Felda Wilayah Mempaga Koyan 2009. Insyaallah ada rezeki saya akan teruskan lagi dengan program-program SmartStudy bersama pelajar dan ibu bapa pada tahun depan. Terima kasih saya ucapkan kepada Ustaz Amna Saufi yang telah bertungkus lumus sejak awal untuk memastikan kejayaan program SmartStudy jelajah Felda ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak urusetia dan pegawai yang terlibat sepanjang program SmartStudy dijalankan sejak bulan November 2009. Insyaallah kita akan berjumpa lagi.























December 23rd, 2009 at 10:27 pm
Salam… ucapan terima kasih diucapkan kepada Tuan Osman diatas program smartstudy yang telah dijalan di Felda Wilayah Mempaga… Respon daripada pelajar2 yang telah mengikuti program amat baik dan akan dipantau dari semasa ke semasa…insyallah kita akan berjumpa dan bersama lagi dimasa2 akan datang dalam membantu anak2 melayu khususnya di Felda dalam memantapkan lagi teknik belajar yang berkesan…akhiri dengan kalimah yang mulia..wasalam
December 28th, 2009 at 2:30 am
Salam. Ustaz, terima kasih banyak-banyak kerana beri kepercayaan kepada saya untuk jalankan program ini. Insyaallah ada rezeki kita akan bekerjasama lagi di dalam program-program yang akan datang.
Terima kasih Ustaz.