Sat 12 Jul 2008
SmartStudy di Auditorium Jabatan Perdana Menteri
Posted by Osman Affan under Program Motivasi
No Comments

Isnin lalu, 7 Julai 2008, saya berpeluang sekali lagi mengendalikan program SmartStudy Learning bersama pelajar-pelajar daripada sekolah seluruh Putrajaya. Kali ini pelajar yang hadir ialah pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Lebih daripada 300 pelajar yang hadir ke program ini. Ia dijalankan di Auditorium Jabatan Perdana Menteri Putrajaya.

Sekali lagi, saya sangat kagum dan terpesona dengan keindahan Putrajaya. Ditambah pula dengan dewan yang begitu cantik dan selesa untuk pelajar menumpukan perhatian kepada isi kandungan program yang saya sampaikan. Saya kira para pelajar ini sangat bertuah kerana diberi peluang mengikuti program anjuran Majlis Guru Kaunseling Putrajaya dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya ini.
Walaupun program ini saya kira agak singkat tempoh masanya, saya dapat kongsikan beberapa tips dan teknik penting untuk pelajar. Bagi saya, kebanyakan pelajar yang masih tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah dan masih tidak bersemangat untuk belajar ialah ‘pelajar yang masih belum mampu melihat masa depan mereka’. Mereka tidak dapat melihat apa yang mereka mahu lakukan dan apa yang mereka mahu capai. Akibatnya, aktiviti pergi ke sekolah menjadi satu aktiviti yang membosankan.
Alhamdulillah, pelajar yang mengikuti program kali ini majoritinya bersemangat dan boleh menumpukan perhatian mereka. Kebolehan menumpukan perhatian adalah satu kebolehan yang sangat berguna dalam menuntut ilmu. Saya selalu menonton semula rakaman video yang saya lakukan semasa program dijalankan. Saya dapati pelajar yang cemerlang selalunya sangat fokus dan bersemangat mendengar apa yang disampaikan. Mereka dapat kaitkan apa yang mereka
dengar dan lihat dengan apa yang mereka mahu capai suatu hari nanti.
Dalam program ini juga saya kongsikan satu modul baru SmartStudy kepada pelajar iaitu teknik untuk menghafal nombor. Sebelum ini saya hanya berikan teknik ini secara sepintas lalu tetapi saya kini percaya teknik ini sangat penting dikuasai oleh pelajar. Ini kerana jika pelajar dapat menguasainya, mereka bukan sahaja boleh menghafal maklumat dan nombor dengan mudah, malah mereka akan berjaya meningkatkan daya konsentrasi dan kebolehan mereka untuk fokus kepada sesuatu.
Saya ucapakan selamat berjaya untuk semua pelajar SPM di Putrajaya!






















