Wed 29 Apr 2009
Bengkel Tamrin - Menjaga hubungan baik dengan pelanggan
Posted by Osman Affan under Soft Skills

Hari ini berlangsung satu bengkel anjuran Tamrin (Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia) mengenai bagaimana hendak menjaga hubungan baik dengan pelanggan. Secara khususnya, pelanggan yang dimaksudkan ialah pegawai yang menjaga bahagian latihan (training). Ini adalah sebahagian daripada modul bagi menyediakan peserta untuk memasuki pasaran latihan di Malaysia.
Program ini dikendalikan oleh Sifu yang amat saya hormati, Puan Ainon Mohd. Pengalaman beliau dalam bidang training amatlah luas hingga kadangkala saya terasa begitu kecil apabila bercakap tentang training bersama beliau. Puan Ainon terangkan tentang adab-adab dan juga pantang larang dalam menjalinkan hubungan dengan pegawai yang menguruskan bahagian training tidak kira di jabatan kerajaan atau swasta. Pengetahuan yang dicurahkan ini sangat bermakna.
Walaupun saya sendiri berada di dalam pasaran training, banyak tips dan nasihat beliau yang sangat praktikal dan berguna jika diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Saya bayangkan, jika maklumat ini semua mahu diperolehi melalui pembacaan sahaja, tentu ia memakan banyak masa dan tenaga. Jadi saya percaya program ini sangat membantu diri saya dan juga semua peserta yang hadir.

Kebanyakan peserta yang hadir adalah penulis-penulis PTS dan juga peminat setia program-program anjuran Puan Ainon. Seronok berjumpa dan bergaul dengan peserta-peserta ini semua. Saya tidak pasti kenapa tetapi saya percaya ia disebabkan mereka ini semua begitu positif, ceria dan begitu selesa untuk didekati.
Saya dan Tuan Shamsuddin Kadir hadir untuk belajar dan sekaligus mewakili Tamrin sebagai Bendahari dan Timbalan Bendahari. Para peserta dikenakan bayaran yuran minimum dan jumlah kutipan ini disumbangkan ke dalam tabung Tamrin yang baru bermula sejak penubuhannya disahkan secara rasmi November tahun lalu.
Program ini juga membolehkan saya buat pertama kali bertemu dengan Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang merupakan seorang trainer dan motivator yang begitu dikenali kini. Selalu saya lihat beliau di kaca televisyen dan Alhamdulillah dapat juga bertemu akhirnya. Di mata saya, beliau adalah seorang yang mempunyai personaliti yang begitu hebat namun dalam masa yang sama beliau begitu merendah diri semasa berbicara. Semoga dapat bertemu lagi.
Kepada Sifu Puan Ainon, terima kasih setinggi gunung diucapkan di atas segala ilmu yang dicurahkan. Semoga Allah menambahkan dan melimpahkan rahmat buat Sifu setiap kali kami berjaya melaksanakan dan mengaplikasikan segala ilmu yang telah dikongsikan tadi. Kepada semua peserta, selamat berjaya dan semoga bertemu lagi di dalam program-program yang akan datang.























