MAP Training Team 

Ahad lalu, 8 Februari 2009, saya meluangkan masa selama 2 jam bagi mempersembahkan tajuk ‘Pandai bercakap dan kaedah terbaik membuat persembahan’ di hadapan lebih kurang 90 orang pelajar Kolej Mara Banting. Program ini dijalankan di Lembah Azwen, Ulu Langat, Selangor. Program ini merupakan program SPIES anjurang kerajaan Negeri Selangor yang telah diamanahkan kepada MAP Training & Consultancy. Tidak asing lagi, syarikat ini diterajui oleh YM Dr. Tengku Asmadi. Terima kasih saya ucapkan kepada YM Dr. Tengku Asmadi kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan slot ini.

Percaya atau tidak, tajuk kaedah persembahan sebenarnya adalah sangat mencabar. Ini kerana, jika persembahan saya sendiri adalah sederhana atau tidak menarik, sudah pasti saya tidak boleh menyampaikan mesej yang terkandung di dalam modul yang saya bina ini. Jadi sudah pasti saya rasa berdebar setiap kali menjalankan program begini.

Kolej Mara Banting

Namun Alhamdulillah, pelajar ini semua sangat ceria dan ’sporting’ orangnya. Begitu mudah untuk saya menyampaikan mesej yang saya bawa. Mereka semua kelihatan sangat cergas dan ceria sepanjang program. Pelajar-pelajar ini adalah pelajar yang sedang membuat persediaan untuk pergi ke luar negara. Lebih khusus, persediaan sebelum menyambung pelajaran ke United Kingdom. Saya rasa begitu kenal dengan mereka kerana saya juga pernah mengikuti program yang sama pada 1994-1996 di PPP ITM Shah Alam. Malah kami pernah mengadakan program sukan persahabatan antara PPP ITM dan juga Kolej Mara Banting.

Beberapa hari selepas program, Tuan Shuhaimi daripada MAP Training menghubungi saya bagi memberikan laporan maklumbalas pelajar mengenai sesi  yang saya jalankan. Agak menakutkan juga cara Tuan Shuhami memulakan bicaranya kerana saya sangka beliau membawa berita yang pelajar tidak sukakan slot tersebut. Namun sekali lagi Alhamdulillah, menurut beliau, lebih 95% pelajar memberi markah penuh kepada slot tersebut. Malah kata beliau, ada 10 pelajar yang memberi ‘rating’ 6 sedangkan rating tertinggi yang ada adalah 5. Baik sungguh hati mereka ini. :)

Kolej Mara Banting

Kepada semua pelajar yang mengikuti program ini, saya ucapkan selamat berjaya mencapai apa sahaja yang anda impikan. Semoga anda semua pulang nanti membawa kejayaan dan kehebatan yang boleh dikongsikan dengan semua rakyat Malaysia.