Fri 20 Feb 2009
Aplikasi Teknik Memori ke dalam sukatan pelajaran
Posted by Osman Affan under Program Motivasi, Teknik Belajar
No Comments
Isnin lalu, seperti yang diterangkan dalam posting sebelum ini, saya jalankan program SmartStudy Memory Skills untuk lebih kurang 60 orang guru di Besut Terengganu. Program ini adalah anjuran dan tajaan Dato’ Seri Idris Jusoh, dengan kerjasama Pusat Minda Besut dan juga syarikat Integrity Icon Sdn Bhd yang diketuai oleh Tuan Haji Wan Zikri.
Program kali amat berbeza dengan program teknik memori yang pernah saya jalankan selama ini. Kali ini saya perlu fokuskan usaha untuk saya untuk menerangkan bagaimana teknik memori boleh diaplikasikan ke dalam sukatan pelajaran. Kepada anda yang tidak biasa dengan teknik memori atau teknik mengingat, mungkin anda tertanya-tanya macam mana pula lepas belajar teknik mengingat tidak boleh guna untuk belajar di sekolah. Hmm… panjang ceritanya.

Dipendekkan cerita, teknik memori yang diajarkan di dalam buku-buku teknik memori dan juga di dalam kursus-kursus teknik memori selalunya mendedahkan peserta/pelajar kepada teknik menghafal untuk memasuki pertandingan memori. Di dalam pertandingan memori, peserta diminta menghafal sejumlah maklumat yang banyak di dalam masa yang agak singkat. Bayangkan menghafal 40 digit nombor hanya dalam masa 15 hingga 30 saat.
Namun, ia amat berbeza dengan menghafal apa yang dipelajari di sekolah. Di sekolah, walaupun pelajar perlu ingat banyak perkara, mereka tidak perlu lakukannya dengan terlalu cepat atau pantas. Tambahan pula, teknik memori yang biasa diajarkan jarang menunjukkan bagaimana sukatan pelajaran dapat dihafal menggunakan teknik yang sama.

Saya hadapi masalah yang sama semasa mula-mula mengajar teknik memori di awal tahun 2004 hingga 2005. Setelah ajar pelajar teknik memori (yang saya perolehi melalui pembacaan), saya sendiri tidak pasti sama ada pelajar boleh aplikasikannya ke dalam sukatan pelajaran. Akhirnya setelah lebih 2 tahun saya kongsikan teknik memori ini, dapat juga saya ringkaskan dan susun semula beberapa teknik agar dapat diaplikasi ke dalam sukatan pelajaran. Hasilnya, setiap kali pelajar hadiri program teknik memori yang saya jalankan, mereka dapat aplikasikan serta merta ke dalam rutin pembelajaran harian mereka.

Saya juga bertungkus lumus mencari dan menghasilkan contoh-contoh mengikut sukatan pelajaran. Itulah juga sebabnya saya kadangkala diketawakan rakan-rakan kerana ke hulu ke hilir menjinjing buku UPSR, PMR atau SPM. ia kelihatan seperti saya yang sedang mahu menduduki peperiksaan tersebut.
Alhamdulillah, kini saya dapat luaskan lagi perkongsian ilmu mengenai teknik memori ini. Harapan saya seperti yang pernah saya tuliskan dulu, saya ingin lihat satu hari nanti semua pelajar di Malaysia begitu mahir dengan teknik memori hingga mereka rasa untuk mengingat apa yang dipelajari adalah begitu mudah dan ‘effortless‘.
Terima kasih kepada Tuan Haji Wan Zikri yang mengundang dan memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan program ini. Tidak lupa juga ucapan jutaan terima kasih kepada Dato’ Seri Idris Jusoh yang menaja program ini. Semoga visi melahirkan generasi Ulul Albab di Terengganu akan tercapai dalam jangka masa yang paling pantas.

Bersama pelajar PMR sekolah Imtiaz sehari sebelum program bagi menjalankan program sama iaitu SmartStudy Memory Skill.






















