ika: assalamualaikum tuan osman, semoga tuan siht ceria dgn semangt yg membara, lama dh x msuk sni, tuan mcmana cara nk mulakan sesuatu perkara @ kerja dari awal, sy ni suka last minute lg2 time nk exam @sbmt asgmnt, tp hujung2 tu la yg byk idea nk buat, apa step pertama sy perlu lakukn nk berubah sbab sy rse buat kerja last minute ni danger klu dteruskan, tolong lah sy… semoga tuan sentiasa dalam keredhaan dan kerahmatanNYA…

Osman AffanWaalaikumsalam Ika. Semoga Ika juga dalam keadaan sihat dan dilindungi rahmat Allah sentiasa.

Saya rasa saya faham situasi Ika mengenai idea yang datang mencurah-curah menjelang tarikh akhir atau ‘last minute’. Bukan sahaja Ika yang mengalami masalah itu, malah hampir semua pelajar yang saya temui mengadu masalah tersebut. Lebih menarik lagi, saya juga hadapi masalah tersebut semasa bergelar seorang mahasiswa satu ketika dulu.

Saya ada cadangan berdasarkan apa yang pernah saya pelajari daripada beberapa buah buku dan program pembangunan diri yang saya hadiri dulu.

Langkah pertama - Senaraikan semua kerja atau assignment yang patut diselesaikan bersama dengan tarikh akhirnya (dateline). Untuk setiap kerja, senaraikan juga kerja-kerja kecil yang perlu turut sama dilakukan. Contohnya jika kerja itu assignment ekonomi, kerja-kerja sampingan ialah pergi ke perpustakaan untuk pinjam buku, temujanji dengan pensyarah atau mungkin ada perbincangan dalam kumpulan.

Eat that frogLangkah kedua - Gunakan tips daripada Brian Tracy yang berbunyi ‘Eat that frog’. Hehe… bukan maksudnya kalau nak siapkan kerja kena makan katak. Tips itu menyuruh kita menyiapkan kerja yang paling kita tidak suka dahulu. Selalunya pelajar akan pilih buat kerja yang mereka suka dulu. Akibatnya, mereka hilang tenaga dan tidak bersemangat untuk memulakan kerja-kerja yang lebih sukar. Akibatnya juga, kerja-kerja itu tertangguh hingga ke tahap ia tidak boleh ditangguhkan lagi. Apabila kita buat kerja yang kita tidak suka dahulu, tenaga kita masih banyak ketika itu. Jadi lebih mudah fokus. Kemudian setelah selesai kita akan terfikir, kalau kerja paling susah pun aku dah boleh selesaikan, ini kan pula kerja yang lebih senang.

Langkah ketiga - Kerja yang dipilih untuk dibuat itu pula dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil. Bayangkan jika Ika perlu makan sebiji kek dengan sekali suap, boleh tak agaknya? Macam mana nak makan keseluruhan kek itu? Ya, tentu Ika potong ke bahagian kecil bukan? Berapa kecil? Potong 2? 4? 8? Atau 16? Jawapannya, potong mengikut saiz mulut yang hendak disuapkan kek itu. Katakanlah ada orang yang mulutnya besar, potong 2 pun mungkin sudah cukup agaknya. :)

Teknik memecahkan kerja kepada bahagian kecil ini dinamakan ‘Chunking’. Apabila jumlah kerja itu kecil, ia nampak mudah dilakukan dan tidak menakutkan. Hasilnya, Ika tidak akan teragak-agak untuk memulakannya.

Disiplin diriLangkah keempat - Jika boleh, cari satu masa khas setiap hari untuk melakukan kerja tersebut. Katakan Ika pilih pukul 8.30 malam untuk buat kerja, setiap pukul 8.30 malam, duduk danbuat kerja. Jangan fikir apa-apa lagi. Jadikan ia satu rutin yang tidak perlu difikirkan lagi. Sama seperti menggosok gigi di waktu pagi. Adakah kita bangun setiap pagi dan fikir, “pagi ni aku nak gosok gigi ke tidak ye?”. Kemudian terus berfikir lagi, “Kalau gosok gigi, nanti gigi aku cantik dan bersih. Kalau tak gosok, nanti rosak. Ishh… nak gosok ke tidak ni?”

Saya percaya kita tidak berfikir begitu. :)

Langkah kelima - Langkah paling penting, setiap kali lepas sembahyang dan berdoa, doakan agar kita sentiasa diberi kekuatan untuk melawan nafsu malas dan godaan-godaan yang cuba menjauhkan kita daripada matlamat yang kejar selama ini. Semasa berdoa pula, bayangkan bagaimana rupa dan keadaan kita kalau kita adalah seseorang yang sangat berdisiplin dan rajin menjalankan tanggungjawab tepat pada masanya.

Semoga cadangan ini dapat membantu Ika. Jangan lupa cari dan tanya pendapat orang lain juga terutamanya orang-orang yang berpengetahuan dan berpengalaman seperti pensyarah atau mungkin juga rakan sebaya. Selamat berjaya Ika! :)