Tip menguruskan masa yang pertama ialah ‘Buat satu senarai tugasan yang perlu dilakukan’. Di dalam Bahasa Inggeris, ini dinamakan ‘To Do List’. Untuk menyediakan senarai ini adalah satu kerja yang sangat mudah sebenarnya tetapi kesannya kepada cara kita melakukan sesuatu kerja adalah amat besar sekali.

Jika anda seorang pelajar, di masa cuti sekolah ini, pada waktu malam sebelum tidur, buat latihan ini selama 5 hingga 10 minit. Sediakan satu buku kecil. Buku kecil yang dicadangkan ialah buku kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Namun jika tidak ada, jangan risau. Jangan jadikan ia satu alasan. Ambil apa-apa sahaja buku atau kertas kosong yang boleh digunakan.

Dalam masa 5 hingga 10 minit, tuliskan semua perkara yang anda mahu lakukan pada esok hari. Fikirkan sejenak, selepas bangun tidur, apakah aktiviti-aktiviti yang perlu anda lakukan. Senaraikan semuanya. Senaraikan aktiviti-aktiviti penting dan juga aktiviti yang mungkin kurang penting. Mungkin pada waktu cuti sekolah anda ada lebih banyak aktiviti yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Tidak mengapa. Tuliskan sahaja.

Urus masa belajar

Latihan ini sebenarnya adalah untuk membiasakan diri kita berfikir dan melihat sedikit jauh ke depan sebelum kita melakukan sesuatu. Masalah utama pelajar yang menghadapi masalah pengurusan masa ialah mereka rasa terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Namun apabila mereka senaraikan di atas kertas perkara-perkara tersebut, ia tidak kelihatan begitu banyak lagi. Hasilnya, mereka rasa ia boleh disempurnakan dengan baik.

Langkah seterusnya.

Setelah anda tulis semua aktiviti yang perlu dilakukan esok, lihat semula senarai aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan nombor atau gred untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan aktiviti tersebut gred, 1,2 atau 3. Gred ini bermaksud,

Gred 1 – Sangat penting  Gred 2 – Penting   Gred 3  – Tidak penting

Penting atau tidak penting ini pula anda perlu berhati-hati. Anda perlu jelas apa matlamat anda sebagai seorang pelajar. Jika saya tanya bermain video games selama 3 jam adalah Gred 1, 2 atau 3, apakah jawapan anda? Jika anda jawab 3 (tidak penting), bermaksud matlamat anda ialah untuk menjadi pelajar cemerlang dan cita-cita anda satu hari nanti ialah mahu berjaya dalam bidang yang boleh dikaitkan dengan pendidikan.

Namun jika anda jawab 1 (Sangat penting), ini bermakna cita-cita anda bukanlah mahu menjadi pelajar cemerlang. Ada kemungkinan cita-cita anda mahu menjadi pemain video games professional.

Jadi, untuk perbincangan kita mengenai cara menguruskan masa ini, saya andaikan cita-cita anda ialah mahu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Berikan gred kepada senarai aktiviti anda sekarang. (Jika anda pelajar sekolah rendah, dapatkan bantuan ibu bapa, abang, kakak atau guru untuk menentukan gred aktiviti ini.)

To Do List

Apabila anda lihat gred ini semua, anda boleh nampak dengan jelas apakah fokus utama aktiviti anda untuk hari esok. Jika anda kesuntukan masa, anda perlu fokuskan kepada perkara yang mempunyai gred terendah iaitu 1 atau 2. Apabila anda penat selepas melakukan aktiviti gred 1, anda boleh berehat dengan melakukan akitiviti dalam senarai yang mempunyai gred lebih tinggi. Contohnya, selepas penat membuat kerja sekolah Matematik (Gred 1), anda boleh berehat dengan melakukan aktiviti menonton DVD Kungfu Panda (Gred 3). Hebat bukan? Siap Gred 1, berehat dengan Gred 3. Hasilnya banyak aktiviti dalam senarai boleh disempurnakan.

Setelah esok berakhir iaitu pada waktu malam sebelum tidur, lihat semula senarai ini. Cuba tandakan mana aktiviti yang telah disempurnakan. Percaya atau tidak, jika teknik ini diamalkan, anda akan rasa sangat seronok apabila anda membuat tanda pada aktiviti yang telah disempurnakan. Ia memberikan kita satu kepuasan yang sukar digambarkan.

To Do List

Bagaimana dengan aktiviti yang belum disempurnakan? Tuliskan semula aktiviti tersebut di dalam senarai baru untuk hari berikutnya. Kadangkala kalau ia gagal dilakukan hari ini, ia akan menjadi semakin penting pada keesokan harinya. Jadi pastikan kita menukar gred aktiviti tersebut jika perlu.

To Do List

Tanamkan azam untuk membuat aktiviti ini sepanjang cuti sekolah ini. Jangan risau kalau anda rasa sukar pada mulanya. Saya akan terangkan lagi tentang kepentingan langkah ini dalam posting saya seterusnya. Selamat menulis senarai aktiviti harian anda. :)