Mel urus masaSetelah kita pelajari bahawa langkah penting dalam menguruskan masa ialah menulis dan merancang aktiviti untuk hari esok, tip kedua pula ialah ‘Tetapkan masa akhir’ untuk menyempurnakan sesuatu. Di dalam bahasa Inggeris, ia dikatakan sebagai ‘set a deadline’.

Menetapkan masa akhir bermaksud jika kita mahu lakukan sesuatu, anggarkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk menyiapkan kerja sekolah Matematik, anggarkan berapa lamakah masa yang kita ada untuk menyiapkannya dan tetapkan bilakah kerja sekolah tersebut sepatutnya siap.

Jika boleh, jangan tetapkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesuatu. Maksud saya, jangan tetapkan masa 2 jam untuk menyiapkan 10 soalan Matematik. Ini kerana jika kita tahu bahawa kita ada banyak masa, kita akan berlengah-lengah dalam membuat kerja. Akibatnya, kita tidak fokus sepenuhnya dan hasil kerja kita juga tidak sebagus mana.

Sebelum ini, saya tidak sedar tentang kepentingan menetapkan masa akhir. Akibatnya, saya perlu siapkan perkara yang ringkas dalam masa yang agak lama. Sebagai contoh, jika saya mahu menulis artikel dan tidak tetapkan masa akhir bila ia perlu disiapkan, saya akan bertangguh dan terlupa tentang apa yang mahu saya tulis. Namun jika saya tetapkan “artikel ini mesti siap sebelum pukul 12 tengahari Jumaat, 18 Disember 2009″, saya akan dapat lebih fokus dan dan teringat tentang artikel ini setiap masa. Hasilnya, saya akan paksa diri untuk duduk menulis dan tumpukan sepenuh perhatian agar ia dapat disiapkan dengan segera.

Jika anda sebagai pelajar dan ada banyak kerja yang perlu disiapkan dalam masa cuti sekolah ini, ada 3 langkah asas yang ingin saya cadangkan anda lakukan untuk mempraktikkan tip kedua ini.

  • Langkah pertama, senaraikan semua kerja atau tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa cuti sekolah ini. Ia mungkin kerja sekolah, sesuatu yang hendak kita baca atau sesuatu aktiviti yang sudah lama kita tangguhkan.
  • Langkah kedua, tuliskan tarikh dan masa akhir untuk setiap aktiviti tersebut.
  • Langkah ketiga, buat keputusan dan tanamkan tekad bahawa anda akan siapkan semua tugasan ini sebelum masa akhir yang telah ditetapkan.

Urus masa Osman Affan 

Saya percaya langkah ketiga adalah langkah yang paling sukar untuk dipraktikkan. Semua orang boleh tetapkan masa akhir tetapi tidak semua orang sanggup bekerja keras untuk menepatinya. Namun jika ia diamalkan pasti menjadi mudah juga nanti. Malah jika kita berusaha dan berjaya menepatinya, akan timbul rasa puas di dalam diri dan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan diri kita untuk menguruskan masa dengan baik.

Mulai hari ini juga, cuba praktikkan untuk menetapkan masa akhir bagi semua perkara yang kita lakukan. Jika kita mahu kemas bilik, kata dalam hati, ‘dalam masa setengah jam, bilik ini akan bersih, tidak ada sampah dan sempurna untuk belajar’. Setengah jam itu adalah masa yang telah kita tetapkan. Hasilnya, kita akan mengemas dengan lebih laju, fokus dan berkesan. Ini sangat jauh bezanya jika anda hanya ambil penyapu, sapu sampah di dalam bilik, kemas katil dan sebagainya tanpa mengetahui apa yang ingin dicapai.

Sama juga jika anda mahu menonton televisyen tetapi dalam masa sama anda perlu siapkan kerja sekolah. Katakan sekarang jam menunjukkan pukul lapan pagi dan anda mahu menyiapkan nota Sejarah. Pada pukul 8.30 pagi pula ada cerita kegemaran anda di televisyen dan anda rasa ia sangat penting dan tidak boleh dilepaskan. Jadi, tetapkan dalam diri anda tentang masa yang anda ada. “Aku ada setengah jam untuk buat nota sejarah. Dalam masa setengah jam ni, aku  akan siap baca 10 mukasurat bab 8, cari jawapan kepada 3 soalan mengenai bab 8 dan lukiskan peta minda untuk isi pentingnya.”

Saya percaya dengan langkah ini, proses pembelajaran akan jadi sangat berbeza. Ia akan jadi sangat berkesan. Selamat mencuba. :)