Urus masaTips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keempat ialah ‘tetapkan masa aktif’. Menurut Dr. Tara Kuther, ini beliau namakan ‘Go with the Flow’.

Saya definisikan masa aktif sebagai masa di mana anda rasa paling bertenaga, bersemangat dan cergas untuk melakukan sesuatu. Saya percaya semua orang ada masa aktif mereka sendiri. Namun setiap orang mempunyai masa aktif yang berbeza.

Ada orang yang aktif di waktu pagi. Ada yang aktif di waktu tengahari, petang atau malam. Jadi, pada waktu bilakah anda paling aktif dalam sehari?

Katakan anda rasa masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jadi,

  • Susun aktiviti atau tugasan yang paling sukar pada waktu pagi.
  • Susun jadual belajar subjek yang mencabar pada waktu pagi.
  • Susun aktiviti atau tugasan yang anda paling tidak suka pada waktu pagi.

Urus masa Osman AffanSebab mengapa ini dicadangkan ialah semasa kita aktif, kita lebih efektif dalam melakukan sesuatu. Semasa kita aktif, kita boleh berfikir dengan lebih baik dan bertenaga. Hasilnya kita akan dapat lakukan sesuatu dengan lebih berkesan dan cepat.

Bayangkan anda cuba siapkan kerja rumah yang paling susah dan yang anda paling benci pada waktu anda paling lemah, letih dan mengantuk. Boleh ia dilakukan? Sudah tentu sukar bukan?

Satu masalah yang biasa berlaku ialah kebanyakan orang suka melakukan aktiviti yang paling mereka suka pada masa aktif mereka. Pelajar contohnya suka belajar subjek yang paling mereka suka dan subjek yang mereka selalu skor A pada masa aktif. Hasilnya, prestasi subjek itu semakin baik manakala prestasi subjek yang mereka lemah kekal lemah malah semakin teruk lagi.

Urus masa Osman Affan

Pakar motivasi dan pembangunan diri, Brian Tracy juga ada memberikan pandangan yang hampir serupa mengenai perkara ini. Kata beliau, ‘Eat that frog’. Katak yang beliau maksudkan ialah kerja atau tugasan yang paling kita tidak suka dan selalu kita cuba tangguhkan. Jika kita berjaya lakukan tugasan yang paling kita tidak suka ini, tugasan lain akan jadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Jadi saya tambah sedikit, ‘makan katak itu’ di dalam masa aktif anda. :)

Sepanjang cuti sekolah ini, cuba kenal pasti masa aktif anda dan kuatkan semangat untuk melakukan semua tugasan mencabar dalam masa aktif ini. Setelah anda lakukan beberapa kali pasti anda akan dapat lihat betapa berkesannya teknik ini. Perlu diingat juga, ada kalanya sukar untuk kita kenal pasti waktu bilakah sebenarnya masa aktif kita. Jangan risau. teruskan mencuba untuk kenal pasti masa aktif kita ini. Ia kadangkal memakan masa sedikit lama untuk dikenalpasti. Namun jika terus mencari dan mengenal pasti, tentu kita akan jumpa.