Mon 28 Dec 2009
7 tips latihan ‘Menguruskan Masa’ sepanjang cuti sekolah - Tip 5
Posted by Osman Affan under Urus Masa
Tip latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang kelima adalah mudah sahaja. Ia berbunyi, ‘belajar untuk berkata TIDAK!’
Kali pertama saya pelajari tentang teknik pengurusan masa ini, saya rasa amat pelik. Apa kena mengena pula berkata tidak dengan pengurusan masa. Namun setelah saya fikir-fikirkan, ternyata benar, banyak masalah berkenaan pengurusan masa adalah disebabkan kita tidak mampu untuk berkata TIDAK.

Bayangkan pelajar yang sedang belajar, siapkan kerja sekolah dan mengulangkaji topik yang baru dipelajari. Baru 5 minit buat kerja tiba-tiba dia mendapat pesanan sms daripada kawannya yang berbunyi, “buat apa tu?”
Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar ini? Adakah dia akan balas pesanan sms itu dan kemudian berterusan hingga lebih satu jam atau dia akan kata “TIDAK! Aku nak buat kerja ni.’ Pada pendapat anda, yang mana satukah pilihan pelajar ini?
Saya sendiri percaya dan faham mengapa begitu susah untuk berkata tidak. Kadangkala saya sendiri semasa sedang sibuk menulis blog tiba-tiba dapat sms daripada sahabat, “Ngeteh?” Sudah jadi tabiat, saya akan balas “JOM!” Walaupun keluar minum teh dengan kawan tidak lama, aktiviti tersebut membuat beberapa perkara menjadi tidak lancar. Habis minum teh, idea dan semangat menulis blog mungkin sudah berkurangan.
Sebagai pelajar, anda perlu belajar berkata tidak kepada perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran rancangan anda. Jika anda kesuntukan masa untuk siapkan kerja sekolah dan menerima pesanan sms, tidak perlu jawab jika ia tidak penting atau jawab dan beritahu sahabat anda yang anda tidak dapat berbalas-balas sms dengannya.
Satu masalah dengan teknik ini ialah anda mungkin bimbang jika berkata tidak, nanti anda dipulaukan. Ini berlaku bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada orang dewasa di alam pekerjaan. Baru hendak siapkan kerja yang diminta oleh bos, kawan dah ajak minum pagi. Tidak ikut, bimbang dikatakan sombong. Tidak ikut, bimbang lain kali tidak diajak.
Bagi saya, tidak salah untuk bimbang. Namun sekali sekala kita perlu bimbang untuk diri kita juga. Selama ini kita asyik bimbang kawan-kawan atau orang disekeliling terasa hati kalau kita berkata TIDAK. Apa kata berfikir untuk diri kita pula seketika dan kita tahu, perkataan TIDAK itu akan menambahkan lagi produktiviti diri kita. Peluang dan jalan untuk kita menuju kejayaan juga akan terbuka lebih luas.
Tambahan lagi, berkata TIDAK bukan semestinya dalam nada yang tidak baik. Kita boleh berkata tidak dalam nada dan bahasa yang sopan. Sekurang-kurangnya sesiapa yang mendengar perkataan TIDAK daripada kita itu tidak berkecil hati dan mungkin boleh faham mengapa kita berkata demikian.
Jadi sebagai pelajar, belajar untuk berkata TIDAK apabila diajak melakukan aktiviti yang kurang atau tidak berfaedah dan aktiviti yang mengganggu kelancaran rancangan yang telah kita sediakan.
Selamat berlatih untuk berkata TIDAK dalam proses menguruskan masa anda. ![]()























