Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keenam ialah ‘jadi lebih fleksibel semasa menguruskan masa’ atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘Be flexible’.

Ini bermaksud, semasa kita merancang dan menguruskan masa, kita perlu bersedia untuk berubah atau sedikit terpesong daripada rancangan awal kita. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk belajar Matematik selama 40 minit dan belajar Sejarah selama 40 minit selepas itu, kita perlu bersedia untuk menukar rancangan jika ianya tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Urus Masa Osman Affan

Mungkin kita rancang untuk belajar Matematik selama 40 minit tetapi apabila 40 minit berakhir, kita masih lagi belum siap dan masih ada sedikit lagi yang perlu dilakukan. Jadi, berikan lagi sedikit masa untuk buat latihan Matematik tersebut. Ada masanya kita rancang masa untuk 40 minit tetapi terpaksa ambil masa selama 80 minit. Dalam contoh rancangan hendak buat latihan Matematik dan Sejarah tadi, apabila anda luangkan masa selama 80 minit untuk Matematik, ia bermaksud rancangan untuk belajar Sejarah terpaksa ditangguhkan.

Adakah ini bermaksud subjek Sejarah akan diabaikan? Tidak juga. Apa yang perlu dilakukan ialah anda masukkan lagi subjek Sejarah dalam jadual pembelajaran anda dalam masa yang terdekat ini. Ia tidak diabaikan tetapi ditukar masanya ke masa yang lebih sesuai.

Mengapakah kita perlu fleksibel? Menurut pengalaman saya menjalankan program teknik belajar di sekolah, majoriti pelajar yang saya temui TAHU bagaimana untuk membuat jadual belajar. Sejak sekolah rendah lagi pelajar sudah belajar bagaimana mahu membuat rancangan untuk belajar setiap hari. Mereka akan satu jadual di mana ada tertulis pada pukul berapa pergi ke sekolah, pukul berapa pergi mengaji, pukul berapa pergi tuisyen dan sebagainya.

Namun satu perkara yang kurang ialah pelajar tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika rancangan itu tidak dapat diikuti sepenuhnya. Jika mereka tulis belajar subjek Sains pada pukul 8 malam, apa akan terjadi jika malam itu ada banyak latihan Pendidikan Agama yang perlu disiapkan? Apa akan jadi jika keesokan harinya ada peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan persediaan belum dilakukan dengan baik?

Apabila pelajar tidak dapat mengikuti jadual mereka dengan baik, selalunya 2 perkara akan berlaku.

  1. Mereka rasa bersalah dan susah hati. Akibatnya mereka tidak dapat tumpukan perhatian kepada kerja yang hendak dilakukan segera kerana asyik teringat tentang jadual mereka yang tidak dapat disempurnakan.
  2. Mereka akan rasa lemah semangat dan hilang minat untuk membuat jadual. Rungut mereka, “kalau buat jadual pun, bukan boleh ikut semua. Buat sakit hati je nanti. Baik tak payah buat jadual!” Saya percaya inilah sebab utama mengapa pelajar tidak suka membuat jadual untuk menguruskan masa mereka. Saya temui sangat ramai pelajar di peringkat universiti yang mengalami masalah ini. Komen mereka “lebih baik tak payah buat jadual sebab kalau buat pun bukan kita boleh ikut semuanya.”

Kepada sesiapa yang berpendapat begini terutamanya pelajar, INGAT 2 perkara ini.

  1. Lebih baik ada jadual dan rancangan menguruskan masa berbanding tidak ada jadual dan rancangan.
  2. Jika kita tidak sempurnakan jadual atau rancangan menguruskan masa, ia JAUH LEBIH BAIK daripada orang-orang atau pelajar-pelajar yang tidak ada langsung jadual atau rancangan menguruskan masa.

Masalah ini berlaku disebabkan pelajar tidak faham konsep pengurusan masa dan tidak boleh jadi fleksibel. Rancangan kita untuk menguruskan masa sebenarnya ialah satu panduan. Sama seperti semasa kita hendak ke suatu tempat. Untuk ke sekolah contohnya, mungkin ada satu jalan terbaik dan paling cepat yang boleh kita ikuti. Namun jika satu hari jalan itu tidak boleh digunakan, pasti ada jalan lain lagi yang boleh digunakan. Kita tidak merungut atau merengek dengan berkata, “tak bolehlah pergi sekolah macam ni!” apabila jalan terbaik tadi ditutup.

Jadual Belajar SmartStudy

Selepas ini, jika kita sudah buat rancangan dan jadual tetapi tidak boleh sempurnakannya, gunakan 2 langkah di bawah. Katakan kita rancang 10 perkara untuk dilakukan tetapi hanya berjaya sempurnakan 7 sahaja manakala 3 lagi gagal dilaksanakan, kita perlu

  1. Bersyukur dan ucapkan tahniah kepada diri kita kerana telah berjaya sempurnakan 7 perkara yang kita rancang. Penuhkan diri dengan rasa gembira, seronok, bangga dan syukur kerana kita BERJAYA selesaikan 7 daripada 10 rancangan. Itu satu pencapaian yang hebat.
  2. Soal diri kita sendiri, “Macam mana supaya lepas ni, aku boleh sempurnakan semua sekali perkara yang telah kita rancangkan?” Soalan ini akan membuat minda kita lebih positif, bersemangat dan bersedia untuk mencari jalan untuk memajukan prestasi pengurusan masa kita pada masa yang akan datang.

Saya ucapkan selamat menguruskan masa dan selamat menjadi lebih FLEKSIBEL! :)